Amerika Syarikat (AS) galak mencipta blok. Agendanya melancarkan serang perang saraf dalam era siber dan dunia digital. Ia lanjutan pascamilenium mempertahankan kuasa uno sebagai polis dunia satu-satunya.

AS sudah berjaya menanggalkan banyak “paku” kuasa yang menentangnya di Teluk; Iraq, Sudan, Afghanistan termasuk Mesir era Arab Spring di bawah Mohamad Mursi.

Di Teluk, AS menjadikan Iran musuh abadinya. Isunya nuklear. Iran begitu bengkeng dan berbangga dengan Revolusi Iran era Khomeni.

Sudah tentu, AS mencipta blok di Syria yang pro-Iran meletaknya di dalam kandang Rusia.

Di Eropah, musuh sampai kiamat AS semestinya Rusia, sistem komunis berganda sosialis yang melawan isme ekonomi kapitalis dan politik kononnya demokrasi.

Begitu AS berbangga mempertahankan kapitalisme dan demokrasinya, maka menjadi wajar baginya meletakkan China sebagai musuh berterusannya di Asia Pasifik.

China bukan sekadar berkontradik isme politik dengan Barat ini, malah bertelagah inspirasi ekonominya.

Kapitalisme ke Negara Komunis

Kita sudah mendengar bagaimana China dan Rusia membawa masuk produk dari dunia kapitalisme untuk dijual di negara komunis yang asasnya tidak punya banyak pilihan dalam urus niaga dan pemilikan peribadi walaupun selepas Rervolusi Perancis.

Ada banyak kisah berkaitan jualan dan peniruan produk harta intelek hak cipta AS di China, dari telefon bimbitnya hingga kepada produk elektrik lainnya. Ini menjengkelkan AS.

China melambakkan produk tiruan ini secara “demokrasi” ekonomi.

China berlembut dalam hal membawa masuk jenama produk francais seperti KFC, McD, 7-Eleven dan sebagainya serta ia kelihatan bukan masalah dalam semangat ekonomi komunisme bahkan ia “molek” dalam sosialis-kapitalisme.

Malah dunia tahu siapa syarikat e-dagang Ali Baba di dunia maya dan kedudukannya pada ranking teratas dunia.

China menggabungkan teknologi dari dunia Revolusi Perancis dengan revolusi dunia maya internet dari langit terbuka hadiah Dwight D. Einsenhower Perang Dunia Pertama.

Sementara, terikut-ikut dengan rentak bapa demokrasi, pada era digitaliasi, perhatikan Australia pro-AS misalnya memberi reaksi amarah apabila ia mengesan pergerakan kapal pengintai Angkatan Laut China dikatakan mendekati wilayah teritorialnya.

Pergerakan China segera dibaca sebagai mengintip latihan tentera Talisman Sabre Australia-AS disertai 25,000 tentera termasuk sejumlah jet tempur.

Iklim Sengketa LCS Memanas

Situasi ini menjadikan iklim sengketa Laut China Selatan semakin memanas. Di sini kuasa berkepentingan cuba mengajak keterlibatan negara sekitar perairan termasuk di Asia Tenggara seperti Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei hingga Taiwan.

Awal Julai, Britain yang selalu dikaitkan dengan AS turut bergeser dengan Iran apabila ia menyita kapal super tanker Grace 1 yang mampu membawa 2 juta tong minyak di laut Gibraltar, selatan Sepanyol.

Britain menuduh Iran melanggar sekatan Kesatuan Eropah dan cuba menyeludup minyak ke Syria. Ternyata di belakang tindakan Britain ialah bayangan hitam AS. Telunjuknya dari tangan ghaib kuasa besar itu.

Dalam perbalahan tenaga dan senjata nuklear, “dengar baik-baik” apa perspektif Israel melihat sengketa tersebut.

Ya, Israel mempertimbangkan mahu menghantar tenteranya membantu AS seandainya berlaku perang antara AS dengan Iran.

Israel menganggap Iran masih sanggup melakukan konfrontasi di tengah-tengah ketegangan yang kian memburuk.

Bagi Israel, Iran musuh tradisinya dan pada masa yang sama ia merupakan sekutu AS. Bagi negara zionis itu, Iran berpotensi mencetuskan konfrontasi tentera secara meluas.

Bertemu Buku Dengan Ruas

Bertemu buku dengan ruas, presiden Iran memperingatkan, ia mampu menghancurkan Israel hanya setengah jam, jika AS menyerang Teheran.

Ternyata, AS menghukum Iran kerana negara itu dilihat berbahaya ke atas Israel dan AS mendakwa pembangunan nuklear Iran sangat berbahaya kepada dunia.

Ironinya pada masa yang sama Washington menarik diri daripada Perjanjian Nuklear 2015 pada 2018 lalu. Kita terfikir apabila AS bertindak, mengapa ia dirasionalkan sebagai tidak berbahaya.

Akan tetapi apabila negara lain yang dicopkan sebagai musuh AS bertindak, ia didakyahkan sebagai berbahaya.

Jika Iran tidak boleh memiliki nuklear, secara dasarnya AS sendiri serta sekutunya Israel juga tidak harus dibiarkan memiliki senjata nuklear.

Masih ingatkah dunia bagaimana presiden Amerika membohongi dunia demi menghalalkan AS menyerang Iraq, negara Teluk itu dituduh memiliki senjata pemusnah besar-besaran yang berbahaya kepada jirannya dan kestabilan dunia.

Perang Teluk sudah selesai berdekad. AS berjaya memasuki dan menguasai Teluk serta berjaya mengucar-kacirkan perpaduan rakyat di dalamnya sehingga hari ini.

Di mana senjata pemusnah besar-besaran yang dicanangkan di media CNN dan media besar lainnya ke seluruh dunia ketika itu?

Pengayaan Uranium

Terkini, laporan Badan Energi Atom Internasional (IAEA) mengesahkan Iran sebenarnya sudah melakukan pengayaan uranium melebihi batas yang ditentukan dalam Kesepakatan Nuklear 2015 yang lalu.

Iran didakwa melanggar kesepakatan melalui Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) yang digagaskan Barack Obama itu.

Iran pula secara defensif menyifatkan dirinya dalam perang psikologis berbentuk “strategi hibrid” yang terdiri daripada sekatan, ancaman dan operasi psikologis yang menyasar pegawai tinggi Iran.

Sementara, di Laut China Selatan yang luas, AS tidak pernah beralah, AS menuding China melakukan ujian peluru berpandu.

China bertindak balas mendakwa AS sengaja mahu mengadu domba ia dengan negara yang terlibat sengketa wilayah di Laut China Selatan.

Begitu juga dengan isu etnik Uighur, AS termasuk Jerman, vokal mengkritik China memenjara hampir 3 juta etnik tersebut di kem kosentrasi ala Nazi di Xinjiang.

China menjawab, ia hanyalah “kem pendidikan semula vokasional” dan tuduhan tersebut hanyalah rekaan AS.

Dalam kes Taiwan, AS sengaja menuai kontroversi apabila sanggup menjual senjata AS$2.2 bilion (RM9.11 bilion) kepada Taiwan.

Di mata AS, semua negara musuh adalah salah dan berbahaya. Jadi secara rasional adakah tindakan AS semuanya sentiasa betul?

Selama ini dunia ditakutkan dengan “hantunya” China, Rusia dan Iran setelah AS berjaya menundukkan Teluk.

Ternyata dunia sudah lama ditakutkan oleh “bapa segala hantu” daripada “hantu lainnya”.