BINTULU: Dua lelaki bersama dadah jenis syabu seberat 49.8 gram dengan harga pasaran RM7,000 dirampas dalam satu serbuan di hadapan pondok kosong tidak bernombor, di KM 93, Jalan Bintulu/Tubau, Bintulu, awal petang Rabu.

Kedua-dua saspek warganegara asing berumur antara 28 dan 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bintulu diketuai Sub/Inspektor Mahdi Ramli.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili dalam kenyataannya berkata saspek disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, saspek boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan 10 kali sebatan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 pula, jika disabit kesalahan, penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada tiga dan tidak lebih daripada sembilan.

 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan teliti yang dibuat ke atas tubuh badan kedua-dua saspek, pihak polis menjumpai dan merampas 69 keratan tiub straw yang disyaki mengandungi dadah syabu dengan berat kasar 40.3 gram daripada saspek pertama.

Manakala, 19 keratan tiub straw berisi ketulan-ketulan kristal berat kasar 9.5 gram juga disyaki dadah syabu daripada saspek kedua.

Jumlah berat kasar keseluruhan dadah dirampas 49.8 gram

Hasil ujian saringan awal pihak polis, katanya, mendapati kedua-dua sabjek negatif dadah di samping tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.