Pokok Rumbia atau dikenali sebagai pokok sagu ialah sejenis pokok palma yang terdapat di hutan Indonesia, Malaysia dan Papua New Guinea.

Ia merujuk kepada semua pokok dalam spesies Metroxylon, atau khusus kepada Metroxylon sagu sahaja. Bagi yang tidak mengenali pokok rumbia, batangnya boleh diproses bagi menghasilkan sagu.Tidak hairan ia boleh ditanam untuk tujuan penghasilan sagu secara besar-besaran.

Bagaimanapun tempoh ia matang bergantung kepada kesuburan tanah. Secara purata, pokok rumbia boleh dituai apabila menjangkau umur 12 hingga 13 tahun di tanah mineral dan 15 hingga 18 tahun di tanah gambut.

Pokok rumbia yang ditebang perlu diproses secepat mungkin bagi mengelak kemerosotan kandungan kanji, biasanya tidak melebihi dua hari selepas ditebang. Pokok rumbia mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10 hingga 12 meter, mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi.

Rumbia adalah tumbuhan yang hidup di meliar di hutan pedalaman. Di Sarawak pokok rumbia amat popular di kawasan tengah Sarawak iaitu Mukah, Igan dan Dalat.

Langkah Kerajaan Sarawak menubuhkan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia Sarawak amat baik untuk pembangunan industri rumbia, Dengan tertubuhnya (Lembaga Pembangunan Industri Rumbia Sarawak) ia membantu melonjakkan taraf hidup khususnya buat rakyat pesisir dan luar bandar yang menjadikan rumbia sumber pendapatan utama.

Sejauh manakah industri rumbia berkembang untuk lima hingga 10 tahun akan datang? Pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini, meluluskan dana khas RM5 juta bagi penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia Sarawak menunjukkan keprihatinan Sarawak membangunkan industri rumbia.

Menerusi penubuhan lembaga tersebut membolehkannya menjadi satu organisasi yang fokus kepada pembangunan industri rumbia di negeri ini.

Sehuhungan itu, satu kajian perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kaedah yang lebih efisien dalam membantu pengeluaran dan penanaman (rumbia). Sesungguhnya industri rumbia berpotensi dikomersialkan di pasaran luar negara. Ini kerana jika diusaha secara sistematis dan profesional serta pelbagaikan penghasilan produk berasaskan rumbia, ia mampu merangsang industri berkenaan.

Untuk rekod lebih 67,957 hektar keluasan rumbia di Sarawak iaitu 43,426 hektar ditanam oleh pekebun kecil dan 24,531 hektar diusakan oleh ladang secara komersial.

Rumbia mempunyai banyak kegunaan iaitu tepung sagu rumbia boleh digunakan untuk memproses serbuk perasa (MSG), sirap glukosa, alkohol, makanan bayi, gula-gula, tekstil, kertas, pelekat, gam, bahan pembeku, plastik dan lain-lain.

Sesungguhnya dengan wujudnya Lembaga Pembangunan Industri Rumbia akan membantu mengembangkan industri rumbia sekali gus menjadikan Sarawak antara pengeksport utama.