MIRI: Indeks jenayah di Bahagian ini mencatatkan penurunan untuk tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini berbanding tahun lepas bagi dua kategori jenayah.

Ketua Polis Daerah (KPD) Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Lim Meng Seah berkata, bagi jenayah kekerasan setakat 30 Jun tahun ini dilaporkan 82 kes dan 75 kes bagi 2019 yang menunjukkan penurunan sebanyak sembilan peratus.

Beliau berkata demikian pada semasa majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, semalam.

“Bagi jenayah harta benda, 353 kes dicatatkan setakat 30 Jun tahun ini berbanding 394 kes tahun lepas yang menunjukkan pengurangan 41 kes iaitu bersamaan sepuluh peratus dengan kadar penyelesaian sebanyak 47.66 peratus.

“Manakala bagi kes jenayah komersial, berlaku peningkatan sebanyak 137 kes dan 78 kes dilaporkan selesai bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun setakat ini,” jelas beliau.

Menurut Meng Seah, peningkatan tersebut berlaku kerana kes penipuan pembelian secara atas talian semakin meningkat.

Beliau mengingatkan supaya masyarakat awam tidak mudah terpengaruh dan lebih berhati-hati dalam penggunaan internet untuk mengelak ditipu sindiket.

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) pula merekodkan 389 kertas siasatan dibuka dan sebanyak 412 kertas siasatan dituduh bagi tempoh sama,” jelas Meng Seah lagi.

Beliau turut memaklumkan, sampel darah mangsa dijumpai di Sungai Suai dengan sampel darah ahli keluarga hilang kini masih menunggu laporan daripada jabatan kimia di Kuching.

“Sampel diambil sudah dihantar ke Kuching dan keputusan dijangkakan akan keluar dalam masa dua minggu,” ujarnya.