SARIKEI: Seramai 50 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sarikei, menyertai program lawatan ke Rumah Panjang Juni Kedu, Ulu Pedanum sempena kejayaan sekolah itu terpilih mewakili Sarawak ke pertandingan Patrol Denggi peringkat Kebangsaan.

Penolong Kanan Pentadbiran SK Sarikei Rosseliiah Bokhari berkata, program bertujuan mendidik dan menyemai tanggungjawab dalam kalangan murid terhadap bahaya nyamuk Aedes selain usaha memerangi wabak denggi di kawasan sekolah.

Malah katanya, ia juga sebahagian usaha memperkasakan peranan mereka dalam mengatasi ancaman denggi selain menjadi duta di dalam komuniti.

“Kita bangga berpeluang mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan. Ia bukan sesuatu yang mudah namun, saya berharap langkah proaktif ini membantu Petrol Denggi SK Sarikei memperoleh kejayaan lebih besar,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, penganjuran lawatan itu juga sebahagian komitmen dan kesungguhan Patrol Denggi SK Sarikei menyalurkan ilmu denggi kepada masyarakat sekaligus membanteras penularan wabak berkenaan.

Sebahagian murid yang menyertai lawatan

Sejajar dengan itu katanya, warga sekolah sentiasa mematuhi prosedur yang ditetapkan dengan melaksanakan pelbagai pendekatan termasuklah aktiviti pencegahan dan kempen.

“Kita menggunakan pendekatan tersendiri dalam setiap kali kempen mendekati masyarakat termasuk penduduk rumah panjang. Langkah itu memudahkan kita menyampaikan penerangan supaya mudah difahami.

“Saya gembira kerana aktiviti ini turut mendapat sokongan padu ibu bapa dan guru. Malah, permuafakatan antara pelbagai pihak termasuk agensi berkaitan mengeratkan lagi si¬laturahim dan jalinan kerjasama yang sedia terjalin,” katanya.

Lawatan turut disertai rombongan Pejabat Daerah Sarikei, guru dan murid SK Ulu Pedanum.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Ngie Tung dan Yang Dipertua PIBG SK Sarikei, Mohd Asfia Adenan.

Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Ngie Tung menerima cenderamata daripada Tuai Rumah Juni Willam Kedu.