KUCHING: Sebanyak 500 benih pokok ditanam di pesisiran Pantai Puteri dalam Program Inisiatif Hijau anjuran Jabatan Perhutanan Sarawak kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak.

Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Angelina Bateman berkata, program tersebut dianjurkan seiring dengan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) 2019 di Santubong, Kuching.

“Sebanyak 500 pokok yang ditanam ini dengan harapan dapat

membuka jalan bagi generasi muda memiliki semangat cintakan alam sekitar dan bersama-sama memelihara serta memulihara hutan sedia ada.

“Pokok yang ditanam ini akan tumbuh serta menjadi habitat untuk kehidupan marin bagi menyediakan tempat dan makanan hidupan liar di kawasan persisiran pantai seperti monyet proboscis (Orang Belanda) dan menjadi zon penampan untuk kawasan pesisir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Inisiatif Hijau anjuran Jabatan Perhutanan Sarawak kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak di sini, semalam.

Tambah beliau, RWMF 2019 dikelaskan mesra alam kerana menyediakan bas ulang-alik dari bandar ke Santubong untuk mengurangkan pelepasan karbon, meletakkan tong kitar semula di seluruh kawasan perayaan dan kompaun kepada sisa makanan.

“Sebagai usaha tambahan, kami tidak menggalakkan penjualan air mineral dalam botol plastik.

“Pihak kami menyediakan 20 stesen dispenser air di seluruh tempat perayaan.

“Selain itu, kami menggalakkan pengunjung membawa bekas minuman sendiri bagi mengisi air minuman yang disediakan,” katanya.

Oleh hal demikian, Sarawak sangat bangga mempunyai hutan hutan tropika tertua di dunia dan pengurusan hutan yang cekap dan lestari serta menjaga alam sekitar adalah bernilai kepada aset pelancongan serta warisan masa depan.

Turut hadir dalam program itu, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak Datuk Abdul Wahab Aziz, Pengarah, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Pejabat Malaysia Cawangan Sarawak Suriya Charles Buas dan Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Sarawak Abang Ahmad Abang Morni.