KUCHING: Penetapan Lesen PSV akan memberikan kesan besar kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya kepada pemandu Grab memandangkan sebanyak 80 peratus pemandu Grab dijangka hilang pekerjaan dalam perkhidmatan ini.

Fatanah Zainal Abidin, 22, berkata, sekiranya perkhidmatan Grab diberhentikan, ia memberi kesan kepada ramai pihak khasnya pemandu Grab itu sendiri.

“Ia akan menjejaskan pendapatan sampingan warga tempatan kerana masyarakat kini berusaha melakukan kerja sampingan untuk menjana pendapatan,” ujarnya.

Sebagai pelajar, dia berpendapat, ketiadaan perkhidmatan seperti Grab akan menyebabkan pergerakan pelajar terhad.

Hal ini katanya, kerana ramai pelajar menggunakan perkhidmatan Grab untuk turun kuliah dan pergi ke beberapa destinasi tanpa perlu terikat dengan jadual perkhidmatan bas.

“Jika berlaku sebarang kecemasan dan tiada pengangkutan ketika itu, pengguna boleh mendapatkan khidmat Grab pada bila-bila masa,” jelasnya.

Penetapan lesen PSV untuk pemandu Grab ujarnya, akan melahirkan lebih ramai pemandu berhemah. Namun begitu, melihat sudut pandangan lain, ia akan menyebabkan perkhidmatan Grab menjadi terhad kerana tidak ramai pemandu berkemampuan mengambil lesen PSV.

“Sekarang ramai orang muda seperti pelajar atau graduan universiti menjadi pemandu Grab untuk menjana pendapatan sampingan. Penetapan lesen PSV menyebabkan ramai antara mereka berhenti,” kata Fatanah lagi.

Macjunior Maxwell, 22, berpendapat, perkhidmatan Grab yang ditamatkan akan memberi kesan kepada individu itu sendiri kerana Grab ini menjadi sumber pendapatan sampingan mereka.

“Pemandu Grab terpaksa mencari alternatif lain untuk menjana pendapatan baharu,” ujar Mac.

Berikutan itu, perkhidmatan ini dijangka menjadi terhad, dan pelajar juga menerima kesan untuk bergerak.

“Ramai pelajar di universiti bergantung kepada perkhidmatan Grab untuk bergerak memandangkan mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri,” katanya kepada Suara Sarawak.

Begitu juga pelajar dari Perak, Lyana Farhana, 22, yang beranggapan seharusnya ada alternatif lain bagi mengelakkan perkhidmatan itu diberhentikan.

“Saya sebagai pelajar memang bergantung dengan perkhidmatan Grab untuk bergerak di sekitar universiti mahupun di Kuching,”katanya.

Jelasnya, ia satu kerugian bagi ramai pihak khususnya kepada pelanggan itu sendiri kerana perkhidmatan Grab begitu mementingkan keselesaan pengguna.

Juliana Minggu, 21, berpendapat, ia akan memberi kesan kepada ramai pelajar dari Semenanjung

yang tidak mempunyai kenderaan sendiri apabila menyambung pengajian di Unimas.

“Kebanyakan pelajar akan bersiar-siar di sekitar Kuching menggunakan Grab untuk memudahkan mereka ke pusat beli-belah berdekatan.

“Sekiranya Grab diberhentikan, maka susah untuk mereka bergerak dan terpaksa menyewa kereta untuk pergi ke destinasi tersebut,” kata gadis dari Pakan itu.

Begitu juga dengan Mohd Nazri, 22, dari Kabong. Katanya, kesan paling utama penetapan lesen PSV ini adalah kepada pemandu Grab itu tersendiri.

“Penetapan lesen ini menyebabkan harga tambang e-hailing semakin tinggi apabila tiba masa kemuncak,” jelasnya.

Hal ini disebabkan penetapan ini tidak memberi sebarang keuntungan kepada pemandu Grab, sekali gus menjadi faktor pengurangan pemandu Grab di Malaysia.

Perkhidmatan Grab menjadi terhad kesan penetapan lesen PSV, sehingga pemandu terpaksa mengeluarkan kos bagi peperiksaan dan latihan yang diwajibkan dalam polisi mengambil lesen PSV.

“Apabila perkara ini berlaku, ia memberi kesan kepada pengguna Grab seluruh Malaysia terutama pelajar yang memerlukan pengangkutan tambang murah ini,” ujar Nazri ketika dihubungi semalam.

Menurut Wellington Kadet Merayang, 21, perkhidmatan Grab yang bakal diberhentikan memberi impak negatif kepada masyarakat terutama kepada individu yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk melakukan aktiviti harian dan sebarang urusan penting khasnya kepada pelajar.

Namun begitu baginya, penetapan lesen PSV ini sangat relevan untuk dilaksana bagi menjaga keselamatan penumpang Grab.

“Hal ini dapat melindungi penumpang daripada menjadi mangsa rogol, samun, serangan seksual dan sebagainya.

“Penetapan lesen PSV ini memudahkan polis mengenal pasti pemandu melalui rekod sedia ada,” kata pemuda dari Lubok Antu itu.

Penetapan PSV ini mewajibkan pemeriksaan kenderaan melalui Puspakom dan merupakan langkah baik untuk memastikan kenderaan pengusaha Grab dalam keadaan baik.

“Melalui pemeriksaan ini, mungkin kemalangan jalan raya dapat dielak, sekali gus dapat melindungi nyawa penumpang dan pengguna jalan raya lain,” ujarnya lagi.

Salah seorang pemandu Grab Empenie Belalang, 25, menyatakan, penggunaan semakin terhad menyebabkan penumpang Grab terpaksa menunggu lebih lama untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Kesannya akan mengganggu ketepatan masa dalam kalangan pemandu Grab seperti saya.

“Kenderaan Grab menjadi kurang memandangkan ramai pemandu terpaksa berhenti disebabkan lesen PSV ini,” katanya.

Selain itu, ia juga akan memberi kesan tidak langsung kepada pelancong asing kerana ramai antara mereka bergantung kepada kemudahan Grab untuk bergerak ke sesuatu destinasi.

“Perkara ini menyebabkan tambang Grab semakin naik.

“Pelancong asing akan mencari alternatif lain dan mengalami beberapa kesukaran untuk bergerak.

“Kesannya ia mungkin menyebabkan pelancong asing kurang gemar untuk datang ke Sarawak pada masa akan datang.

“Terutama ketika musim Festival Muzik Hutan Hujan berlangsung sekarang.

“Perkhidmatan Grab ini sudah tentu banyak membantu pergerakan pelancong di Sarawak,” katanya lagi.

Pekerja agensi pelancongan Lenta Gera, 22, pula menjelaskan, ketiadaan perkhidmatan pengangkutan seperti Grab akan memberi kesan mendalam terutama bagi masyarakat awam yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri.

“Mungkin ada alternatif lain seperti bas, tetapi kita sekarang mementingkan ketepatan masa. Tidak mahu menunggu lama.

“Grab merupakan jalan penyelesaian kepada perkara tersebut,” ujar gadis dari Sarikei itu.