Ketua Menteri Sarawak dalam sesi Town Hall “Berambih Bersama Abang Jo” di Dewan Suarah Mesra Mukah menyambut baik cadangan menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada pelajar di negeri ini.

Bagi melaksanakan perancangan tersebut, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bersama-sama agensi kerajaan berkaitan, bagi mencari kaedah terbaik merangka pelaksanaannya.

Hal ini kerana, penyediaan perkhidmatan bas sekolah percuma bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan murid, malah turut melibatkan peruntukan dana kewangan tambahan.

Bagi rakyat marhaen, inisiatif ini jika dilaksanakan pasti memberi impak cukup besar kepada rakyat, berikutan peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara.

Dianggarkan sekitar RM60 hingga RM100 sebulan kos perlu ditanggung oleh ibu bapa bagi setiap anak yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah.

Kos Tambang Meningkat

Selain itu, kos tambang bas sekolah juga dijangka meningkat sekiranya terdapat aktiviti kokurikulum di luar waktu persekolahan.

Bagi yang mempunyai jumlah anak bersekolah yang ramai, kos pengangkutan ke sekolah pasti menjadi bebanan terbesar yang perlu ditanggung dalam perbelanjaan keluarga.

Dalam beberapa kes terpencil, ketidakmampuan ibu bapa membayar tambang bas sekolah menjadi punca terjejasnya persekolahan anak-anak.

Hal ini kerana ibu bapa perlu mengutamakan keperluan asas keluarga terlebih dahulu seperti makanan dan tempat tinggal berbanding persekolahan anak-anak.

Justeru, tidak hairan jika terdapat kanak-kanak di negara ini yang tidak bersekolah, kerana tidak mampu membayar tambang bas ke sekolah.

Masalah ini walaupun nampak terpencil, namun jika tidak ditangani secara berhemah, pasti menjadi barah dalam masyarakat.

Sehubungan itu, tindakan Kerajaan Sarawak mengkaji penyediaan perkhidmatan bas sekolah percuma di negeri ini wajar disokong sepenuhnya.

Walaupun idea ini bukan baharu dan yang pertama dilaksanakan di Malaysia, namun impaknya kepada sistem pendidikan negara dan masyarakat amat ketara.

Bas Sekolah Gratis

Mengambil contoh di Jakarta Indonesia, perkhidmatan Bas Sekolah Gratis dilaksanakan dan diberikan kepada semua murid sekolah.

Sehingga kini, Unit Pelayanan Angkutan Sekolah (UPAS) memiliki 176 bas sekolah, 352 petugas dan beroperasi dalam tiga syif.

Menariknya, Bas Sekolah Gratis di Indonesia bukan sahaja percuma, tetapi turut dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup dan Global Positioning System (GPS) bagi tujuan keselamatan.

Dianggarkan sekitar 33,000 pelajar di Jakarta menggunakan perkhidmatan bas ini pada setiap hari.

Selain mengurangkan kos perbelanjaan persekolahan, pelaksanaan Bas Sekolah Gratis di Jakarta berjaya mengurangkan kesesakkan lalu lintas di bandar raya tersebut.

Hal ini disebabkan ibu bapa tidak perlu lagi menghantar dan mengambil anak-anak mereka di sekolah.

Perkara ini secara tidak langsung memberi impak cukup signifikan kepada keharmonian keluarga, produktiviti pekerja dan kesejahteraan negara.

Jika sebelum ini masa ibu bapa banyak dihabiskan di atas jalan raya, kini mereka pasti mempunyai banyak masa yang dapat dimanfaatkan untuk keluarga dan majikan. Selain itu, penyediaan perkhidmatan bas sekolah percuma pasti dapat menyemai dan mendidik sikap menggunakan pengangkutan awam di negeri ini.

Negara Maju

Di negara maju seperti Jepun, pengangkutan awam menjadi pilihan utama dan amat sedikit yang menggunakan kenderaan sendiri.

Selain cepat sampai ke destinasi yang dituju serta kos yang murah, penggunaan pengangkutan awam juga dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dari asap kenderaan. Hal ini secara tidak langsung mampu melindungi bumi daripada pemanasan global.

Sehubungan itu, cadangan daripada Ketua Menteri ini wajar dilaksanakan dengan segera dan menyeluruh. Fokus utama tentulah di kawasan bandar utama seperti Kuching, Kota Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri yang mempunyai jumlah sekolah yang banyak dan pelajar yang ramai.

Bagi sekolah yang berada di luar bandar yang tiada sistem jaringan jalan raya, pelaksanaan bas sekolah percuma mungkin kurang praktikal.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak wajar memikirkan untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma bagi pelajar di pedalaman Sarawak.

Hal ini kerana, kita tidak mahu hanya pelajar di bandar sahaja yang mendapat manfaat daripada inisiatif bas sekolah percuma itu nanti.

Berpegang teguh pada asas pendidikan untuk semua, segala kemudahan bagi menyokong sistem pendidikan kebangsaan wajar dinikmati oleh semua pelajar.

• Dilah Tuah ialah Timbalan Dekan dan Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.