KUCHING: Kelonggaran syarat bagi peminjam PTPTN untuk membeli rumah sendiri dilihat memberi kesan yang positif kepada lepasan institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Menurut kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, peminjam PTPTN boleh melakukan pembelian pertama dan dikecualikan daripada sekatan dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRS).

Namun begitu, peminjam hanya dikecualikan untuk membeli rumah pertama, tidak termasuk untuk membeli kereta dan atas sebab tujuan lain.

Pelajar tahun akhir Unimas, Ling Hie Ping, 23, berasal dari Sarikei berkata, syarat tersebut memudahkan lepasan IPT membeli rumah dengan kos yang rendah bagi mengelakkan peningkatan kos sara hidup.

 

“Perkara ini akan memudahkan peminjam membuat pembayaran dan memberi peluang kepada peminjam mendapatkan rumah pertama mereka,” ujarnya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Selain itu, Nur Amirah Yaya, 21, salah seorang penuntut di Unimas menyokong kelonggaran syarat tersebut kerana ia membantu lepasan IPT yang baru hendak memulakan kerjaya mereka.

“Perkara ini sangat membantu peminjam PTPTN dan menggalakkan mereka untuk memiliki rumah mereka sendiri,” tambahnya.

Menurut Lenny Linggir, 21, berasal dari Pakan, dia menyambut baik usaha kerajaan melonggarkan syarat tersebut.

“Golongan peminjam haruslah berterima kasih kepada kerajaan kerana melonggarkan syarat tersebut.

“Melalui pelonggaran syarat membeli rumah ini, golongan peminjam haruslah berusaha lebih keras untuk menampung kehidupan dan membayar pinjaman mereka terhadap PTPTN,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Jonathan, 22, menyifatkan syarat ini begitu membantu dan golongan ini perlu menggunakan peluang ini untuk terus meningkatkan taraf hidup mereka.

“Tindakan kerajaan dengan memberi syarat kelonggaran ini bagus kerana memberi peluang kepada peminjam yang disenaraihitamkan dapat membeli rumah mereka.

“Perkara ini akan meringankan beban peminjam untuk memiliki rumah mereka sendiri,” ujarnya pemuda dari Pulau Pinang itu.