Nafsu merupakan perkara paling sukar dikawal oleh manusia tidak kira lelaki atau wanita, remaja atau dewasa, tua atau muda.

Dalam dunia teknologi moden ini, ramai ibu bapa yang memberikan anak-anak pendedahan kepada gadjet terutama penggunaan telefon bimbit.

Menjadi kebimbangan, banyak perkara yang boleh dicapai dengan mudah hanya di hujung jari dalam dunia teknologi khususnya menggunakan telefon bimbit hari ini.

Tidak kira di mana individu itu berada, tidak kira masa banyak perkara dapat dicapai dengan mudah termasuk video lucah.

Masyarakat kurang sedar tentang perkara tersebut, mungkin ada antara mereka menganggap bahawa ia normal.

Namun, jika seseorang itu tidak dapat mengawal nafsu mereka ia boleh mendatangkan banyak kemudaratan kepada diri mereka dan juga orang sekeliling.

Apabila mereka terangsang selepas menonton video lucah, gelora nafsu seks akan menimbulkan banyak hal negatif jika tidak dapat dikawal lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak.

Video Lucah

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, dalam kes yang melibatkan kanak-kanak dan video lucah mengawal aktiviti anak-anak di bawah umur khususnya dalam penggunaan telefon bimbit, bukan mudah.

Kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila mereka mencapai usia baligh dalam lingkungan 12 tahun. Katanya, mereka menganjak ke alam remaja dan terdapat per- ubahan hormon dalam diri kanak- kanak ini, dalam istilah Islam segelintir mereka sudah baligh. Apabila sudah baligh, mereka sudah mempunyai nafsu dengan lawan jantina, mungkin ada perasaan berbeza apabila mereka bersentuhan dan sebagainya. Negara pernah digemparkan dengan satu kes kanak-kanak berusia 12 tahun merogol anak asuhan ibunya berusia 4 tahun dipercayai terangsang selepas menonton video lucah.

Menjelas lanjut tentang kes tersebut, Fatimah berpendapat kanak-kanak itu masih belum matang dan tidak tahu implikasi perbuatan merogol.

Kanak-kanak tidak dapat mengawal nafsu mereka sendiri dan tidak tahu perbuatan tersebut boleh dikenakan hukuman.

Mereka tidak tahu dengan menonton video lucah dapat mendatangkan pelbagai perkara negatif dan risiko kepada diri sendiri.

Salah Siapa?

Jadi dalam kes tersebut siapa yang harus dipersalahkan? Kanak- kanak berusia 12 tahun sudah bebas menonton video lucah hingga mendatangkan perkara negatif kepada dirinya dan orang lain.

Kita bimbang dengan dunia yang semakin maju, pelbagai kes yang timbul melibatkan kanak-kanak dan para remaja.

Selain daripada peranan ibu bapa, masyarakat juga perlu memberikan kerjasama untuk membanteras kes yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.

Jadilah masyarakat yang prihatin kepada persekitaran di sekeliling, jangan biarkan generasi yang sepatutnya menjadi pelapis kepimpinan rosak kerana sikap negatif yang diamalkan oleh masyarakat.

Semoga dengan kes rogol melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu memberi pengajaran kepada masyarakat kita, ibu bapa menjadi lebih peka dan mampu mengawal aktiviti anak-anak dengan baik.