Mendidik generasi hari ini untuk persiapan hari esok harus bagi pendidik atau seorang ayah memberikan ilmu dan bahan didikan kepada anak berdasarkan input sesuai untuk anak mengemudikan kehidupan hari besok.

Kata-kata sakti ini sangat dekat dengan cita-cita kita menye- diakan bandar raya Kuching sebagai kota pintar, moden, mesra rakyat dan selamat.

Justeru, perancang kemanusiaannya atau jurutera fizikalnya harus menyediakan ilmu serta prasarana sesuai dengan generasi masa depan 2030 atau mencapai 2050 ke atas.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa menutup Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital Sarawak (Idecs) 2019 mengingatkan, “sekarang ia selamat, tapi kita mahu pastikan pada 2030, ia terus menjadi kota mesra dan selamat.”

Pemimpin Sarawak mempunyai misi dan visi memperalatkan ekonomi digital yang jelas demi memenuhi impian membawa rakyat meneroka dunia masa hadapan.

Kuching sebuah bandar raya dengan kejayaannya pada hari ini menjadi teladan serta blue print membangunkan bandar serta bandar raya lain di negeri ini.

Dari segi perancangan bandar, bagusnya, pemimpin dan perancang mahu belajar daripada kelemahan yang dihadapi kota lain untuk diterap semasa membina kota pintar ala Sarawak. Semestinya keseimbangan pembangunan fizikal kota harus seimbang dengan pembangunan minda serta rohani penghuninya.

Abang Johari percaya Sarawak mampu menggunakan ekonomi digital sebagai kenderaan untuk bergerak menuju 2030, seterusnya ke masa depan.

Persidangan kali ketiga Idecs melibatkan 2,300 delegasi dari seluruh dunia terus membawa pakar untuk menunjuki ilham atau kongsi idea bernas memberi input buat Kerajaan menyusun perancangan.

Merancakkan ekonomi digital, pada 2017 Kerajaan Sarawak memperuntukan RM1 bilion membina prasarana telekomunikasi. Seterusnya ID Sarawak dilaksanakan menghubungkan kerajaan dengan rakyat. Begitu juga dengan Sarawak Pay sebagai kaedah bayaran bukan tunai dalam muamalah jual beli.

Semua ini diharap memudahkan penerapan teknologi dan pertumbuhan ekonomi digital yang mampu memberi manfaat. Kita yakin negeri ini mampu mengeksploitasi teknologi era digital seperti penggunaan telekomunikasi 5G, Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Voice Recognition, Virtual and Augmented Reality (VR/ AR).

Kelak kita menyaksikan pemanduan kenderaan, keselamatan, sistem penghantaran dikendalikan sendiri oleh sistem pintar. Bahkan jika yakin, kita tidak perlu hanya menjadi pak turut teknologi yang dicetuskan oleh orang lain, sampai masanya harus jadi peneroka atau pencetus teknologi tersebut.

Sarawak juga mempunyai idealisme mencapai kerajaan digital, perkilangan, bandar pintar, pelancongan, pertanian dan e-dagang yang praktikal.

Bekerjasama dengan pihak lain sebagai rakan kongsi dalam perkongsian pintar adalah betul, dengan Sarawak berani dan sedia memeterai perjanjian menguntungkan bersama rakan ekonomi digital ini.