KUCHING: Kerja-kerja naik taraf di Kampung Budaya Sarawak (SCV), Damai siap awal daripada jadual ditetapkan.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir berkata, SCV ialah lokasi penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) pada 12 hingga 14 Julai ini.

Beliau mendedahkan perkara itu semasa sesi walkabout ke SCV oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan beberapa wakil kementerian, semalam.

Menurut Hadi, kerja-kerja naik taraf dimulai bulan lepas dan kebanyakannya telah siap awal daripada jadual. “Kerja-kerja naik taraf ini termasuk naik taraf kemudahan internet di SCV.

“Kami juga melakukan kerja penam- bahbaikan untuk menampung sambun- gan internet dan liputan untuk Damai Central yang berdekatan, yang akan memberikan kemudahan yang lebih baik kepada mereka yang akan meraikan festival ini selama tiga hari,” ujarnya.

Sebanyak 39 kumpulan muzik dari 20 negara akan membuat persembahan dalam RWMF 2019. Mereka bakal mempamerkan muzik gabungan rakyat antarabangsa dan muzik asli serta lagu-lagu dihadapan kira-kira 20,000 penonton.

Festival ini turut disertai lapan negara baru dari Nagaland, India; Bhutan; Canary Islands; Mauritius; Kalimantan Barat, Jamaica, Estonia serta kebudayaan Ainu dari Jepun.

Justeru, beliau mengesa orang awam untuk datang awal ke tapak festival bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas terutamanya jalan raya menuju ke SCV.

“Kesan RWMF menggalakkan dengan rantaian hotel milik SEDC ditempah oleh penonton festival termasuk dari luar negara.

“Festival ini meletakkan Sarawak dalam peta dunia pelancongan untuk muzik peribumi dan rakyat serta muzik. Ia juga berjaya membawa ramai pelancong dari banyak negara untuk bersama-sama menyambut muzik dunia ini,” ujarnya.