SHAH ALAM: Pengguna perkhidmatan e-hailing, Grab dijangka berdepan kenaikan kadar tambang selepas peraturan Program Khas Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) berkuat kuasa hari ini.

Menurut soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan di laman sesawang syarikat tersebut, pihaknya memahami perasan penumpang apabila harga tambang dijangka meningkat kerana kekurangan pemandu.

“Bagaimanapun dengan kemungkinan jumlah pemandu Grab yang kurang di atas jalan, anda akan mengalami peningkatan tambang dinamik terutama waktu puncak dan waktu hujan,” katanya.

Jelas Grab, berdasarkan peraturan baharu itu, semua pemandu Grab perlu melalui proses saringan yang ketat dan mematuhi peraturan ditetapkan.

Antara peraturan tersebut adalah menjalani pemeriksaan latar belakang, latihan memandu selama enam jam, peperiksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemeriksaan Puspakom dan pemeriksaan kesihatan.

“Ini bermakna jumlah pemandu akan berkurangan di atas jalan dan menyebabkan waktu menunggu semakin tinggi,” ujarnya.

Tambah syarikat itu, sejak peraturan itu dimaklumkan secara rasmi pada April lalu, Grab dan 200,000 pemandunya bekerja keras untuk mematuhi peraturan tersebut.

Sehubungan itu, Grab menasihatkan pengguna membuat perancangan awal sebelum membuat sebarang perjalanan ke mana-mana destinasi.

“Tempah lebih awal berbanding biasa dan bersedia apabila pemandu tiba di tempat anda terutama jika anda ada penerbangan yang perlu dinaiki atau menghadiri mesyuarat penting.

“Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan di luar waktu puncak.

“Waktu puncak ialah pada pukul 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam,” ujarnya.