KUCHING: Semalam seorang lelaki nekad menggantung diri selepas bertengkar dengan teman wanitanya dan mayatnya ditemui tergantung di tempat penyimpanan air di Sibu. Kelmarin seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat empat bangunan Metrocity manakala pada Rabu lalu, seorang penjawat awam turut menggantung diri di sebuah tangga kecemasan pejabat berkenaan di Jalan Sultan Tengah Kuching.

Ini menjadikan kesemua kes bunuh diri meningkat kepada tıga kes dalam masa tiga hari.

Mangsa di Sibu merupakan pekerja asing di sebuah kilang ayam di Batu 25, Jalan Oya di sini.

Semasa dijumpai, mayatnya ditemui tergantung di bangsal tempat penyimpanan tong air di atas bukit berdekatan kilang terbabit.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tergantung oleh pihak kilang di tempat kejadian pada jam 12.04 tengah hari kelmarin.

Jelasnya, mangsa bekerja sebagai penternak ayam yang dikenali sebagai Untung Setiyono, 22, berasal dari Jawa, Indonesia.

Menurut Stanley menerusi kenyataannya semalam, hasil siasatan polis mendapati rakan sebilik memaklumkan mangsa bertindak demikian kerana bertengkar dengan teman wanitanya ketika berhubung melalui telefon malam sebelum hari kejadian iaitu pada malam Selasa lepas.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan bedah siasat akan dijalankan secepat mungkin.

“Pihak polis telah memaklumkan Konsulat Indonesia untuk tindakan susulan dan urusan mayat ke negara asalnya,” katanya lagi.

Sementara itu dalam kejadian di Metrocity, Kuching, seorang lelaki turut menemui ajal selepas terjun dari tingkat empat sebuah lot bangunan di Metrocity, Jalan Matang dekat sini.

Dalam kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10.15 malam Selasa lalu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak.

Mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata si mati merupakan warganegara Indonesia berusia 27 tahun.

“Si mati cuba diselamatkan empat rakan sekerjanya apabila dilihat hendak terjun dari tingkat tiga tempat kejadian.

“Namun dia terus terjun dan terjatuh di tempat letak kereta,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya kes masih dalam siasatan polis dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Rabu lalu pada 10 Julai, seorang penjawat awam ditemui menggantung diri di tangga kecemasan pejabat kerajaan di Jalan Sultan Tengah Kuching.

Polis mengesahkan kejadian itu sebagai mati mengejut dan menjadikan jumlah mangsa bunuh diri meningkat kepada tiga kes dalam masa tiga hari.