WASHINGTON: Majoriti veteran tentera Amerika Syarikat (AS) mengatakan perang hampir 18 tahun di Afghanistan hanya sia-sia, menurut tinjauan pendapat yang dikeluarkan pada Rabu.

Hasil kaji selidik itu muncul ketika AS dan Taliban terlibat dalam rundingan mengakhiri konflik yang dicetus sendiri oleh Washington berikutan serangan 11 September 2011 ke atas Amerika Syarikat.

“Majoriti veteran tentera (58 peratus) dan orang awam (59 peratus) mengatakan perang di Afghanistan sebagai perang sia-sia. Sekitar empat daripada 10 atau kurang mengatakan ia berbaloi,” menurut Pew Research Center.

Keputusan sama bagi perang di Iraq dan campur tangan ketenteraan AS terhadap kumpulan Daesh di Syria, dengan 64 peratus veteran tentera mengatakan ia perang sia-sia, dan 55 peratus mengatakan yang terakhir itu “tidak berbaloi”.

“Para veteran yang berkhidmat sama ada di Iraq atau Afghanistan tidak lagi menyokong penglibatan mereka berbanding daripada mereka yang tidak ditugaskan dalam peperangan ini.

“Pandangan tersebut tidak berbeza berdasarkan pangkat atau pengalaman pertempuran,” kata Pew Research Center.

Tinjauan pendapat itu mempunyai margin kesilapan 3.9 peratus dan 3.1 peratus bagi anggota masyarakat awam.

Washington mengatakan ia mahu memeterai perjanjian politik dengan Taliban, menjelang pilihan raya presiden Afghanistan pada September membolehkan tentera asing memulakan pengunduran dari negara itu.

Amerika Syarikat mengadakan rundingan enam hari di Qatar dengan Taliban yang berlangsung hingga Sabtu ini. – AFP

Foto AFP