KUCHING: Grab prihatin terhadap beban yang ditanggung pemandu Grab dengan memberikan bayaran balik untuk pemeriksaan kesihatan, Puspakom dan bayaran kelas PSV.

Menurut pemandu Grab yang diberi kelulusan mengendalikan Grab Alpha Abang Fadzil Abang Fauzi, walaupun langkah yang bakal dilakukan kerajaan melibatkan kos untuk memenuhi syarat ditetapkan, dia bersyukur pihak Grab membantu meringankan beban mereka.

“Mereka (pihak Grab) memberikan bayaran balik untuk kos pemeriksaan kesihatan, kelas PSV dan Puspakom kepada kami bagi membantu mengurangkan beban ekonomi yang terpaksa kami hadapi masa kini.

“Ia inisiatif untuk menaik taraf perkhidmatan e-hailing dengan mempunyai lesen PSV, Puspakom, dan Perkeso seperti pemandu teksi yang lain,” ujarnya semalam.

Fadzil berkata, dia merupakan pemandu Grab Alpha yang diberikan kelulusan oleh Grab Malaysia.

Katanya, setakat ini sepuluh pemandu Grab Alpha di Kuching diberikan kelulusan tersebut.

Bagi sesiapa yang ingin mendaftar dan pengesahan dokumen sebagai pemandu Grab termasuk khidmat nasihat dalam mendapatkan lesen PSV, Puspakom dan lain-lain, hubungi Abang Fadzil di talian 0197803315.

Terdahulu JPJ mengumumkan pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing (seperti Grab, MyCar, MULA) perlu memiliki Lesen Vokasional (PSV-Teksi/ E-hailing).