KUCHING: Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya semalam mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Antara lain, perjumpaan selama setengah jam itu turut membincangkan akan tawaran SPRM untuk membantu membangunkan sistem yang lebih telus serta khidmat nasihat bagi memudahkan ahli-ahli Adun Sarawak melaksanakan pengisytiharan harta seperti yang diusulkan di Parlimen.

“Sejak usul pengisytiharan harta diluluskan di Parlimen, saya dan pasukan telah menjelajah dari negeri ke negeri bagi memastikan komitmen dan kerjasama daripada pemimpin-pemimpin serta wakil rakyat berhubung perkara ini.

Ketika ditanya mengenai usaha Kerajaan Sarawak menempatkan pegawai-pegawai integriti di setiap jabatan kerajaan, beliau amat mengalu-alukannya dan menyifatkan ia komitmen yang harus dipuji.

“Bagaimanapun pengisytiharan harta yang diwajibkan kepada pemimpin-pemimpin kerajaan dan wakil-wakil rakyat adalah langkah seterusnya dalam usaha meningkatkan integriti dan ketelusan dalam kepimpinan,” tambahnya.

Ini merupakan kunjungan pertama beliau kepada Abang Johari selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.