KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg enggan mengulas peletakan jawatan Datuk Dr. Jerip Susil sebagai Timbalan Parti Sarawak Bersatu (PSB) mahupun kemungkinan beliau menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menurut Abang Johari yang juga Presiden PBB, beliau hanya mengetahui peletakan jawatan Dr. Jerip melalui laporan berita di media sosial.

Ditanya mengenai kenyataan bahawa penyokong Dr. Jerip mahu beliau menyertai PBB, Abang Johari tidak memberikan sebarang jawapan kukuh.

“Kita akan lihat bagaimana ia berlaku nanti,” katanya.

Abang Johari turut mengakui yang Dr. Jerip pernah memohon untuk menyertai PBB sebelum ini (sebelum PSB ditubuhkan).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Festival Minda dan Stem di Chung Hua Middle School No.1 di sini, semalam.

Dr. Jerip pada Khamis lalu mengumumkan peletakan jawatan daripada PSB yang merupakan serpihan SUPP.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, beliau belum terfikir untuk menggugurkan pemimpin PSB dalam barisan kabinet.

Beliau tidak mempunyai alasan untuk merombak kabinet atau sebaliknya pada masa ini.

“Saya tidak memikirkannya (menggugurkan pemimpin PSB daripada barisan kabinet).

“Kabinet yang sedia ada masih sama,” ujarnya.