SKRANG: Seorang lelaki warga emas, Munau Tama, 68 dari Rh. Muda Issu Bangat dekat sini dikhuatiri hilang selepas tidak pulang sejak Jumaat.

Menurut adiknya Meria Tama yang membuat laporan kehilangan di Balai Polis Skrang sekitar 7.23 petang tadi, abangnya yang dikatakan mempunyai masalah kesihatan tidak pulang ke rumah sejak 3.00 petang Jumaat.

Difahamkan abangnya itu keluar dari rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga yang lain sehingga menimbulkan kerisauan.

Mangsa kali terakhir dilihat menggunakan baju bewarna putih serta berseluar pendek biru.

Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PBK I Henry Jugah ketika dihubungi, pihaknya menerima maklumat tentang kehilangan Munau selepas diberitahu Balai Polis Skrang pada 7.38 petang tadi yang memohon khidmat bantuan untuk mencari mangsa.

Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka dan hasil perbincangan bersama polis serta ahli keluarga, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan digerakkan bermula pagi esok.