KUCHING: Taktik tiga ah long yang mendakwa mempunyai pengaruh dan mengenali para pegawai penguat kuasa untuk menakut-nakutkan mangsa mereka tidak lagi berbisa apabila berjaya diberkas oleh pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 29 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan selepas dua mangsa tampil membuat laporan.

“Kesemua suspek ditahan dalam serbuan pada 11 dan 13 Julai di kawasan Matang dan Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

“Serbuan dilakukan selepas seorang mangsa lelaki berusia 48 tahun membuat laporan apabila rugi hampir RM100,000,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Kata Mustafa, mangsa kedua, seorang penjawat awam wanita turut membuat laporan apabila rugi hampir RM2,400.

“Maka, kita merampas wang tunai bernilai RM270,000, telefon bimbit pelbagai jenis, kad ATM dan kad debit, beg tangan serta sebuah kereta Toyota Vellfire. “Suspek mengiklankan kegiatan mereka melalui laman sosial Facebook dan apabila terpedaya, mangsa dikenakan kadar bayaran faedah sehingga 20 peratus seminggu atau sebulan,” jelasnya.

Tambah Mustafa, mereka melakukan urusan di tempat awam sama ada tempat parkir kenderaan atau restoran.

Ujarnya, dua suspek direman dua hari sehingga 15 Julai manakala proses permohonan reman seorang lagi suspek sedang dilakukan.