KUCHING: SPRM mengesahkan ada kes yang diterima melibatkan ‘jerung besar’ di Sarawak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan tersebut dan beliau tidak boleh mendedahkan jumlah kes kerana ia masih berada dalam siasatan.

“Jumlah kes tersebut tidak tetap dan boleh berubah,” katanya ketika ditanya jumlah kes di Sarawak.

Menurut Latheefa, kes dalam siasatan tidak boleh didedahkan kerana akan memberi kesan kepada siasatan.

“Terdapat banyak kes dan aduan oleh orang awam. Anda perlu memaklumkan kepada saya supaya siasatan dapat dilakukan. “Setiap kes yang melibatkan orang kenamaan atau sesiapa sahaja yang sedang disiasat tidak boleh didedahkan atas sebab tertentu,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada pementasan Teater Muzikal Semarak Pertiwiku yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang di sini, kelmarin.

Tambah Latheefa, setiap siasatan yang dijalankan ada jangka masa tertentu.

“Kita tidak tahu berapa lama siasatan dijalankan kerana bergantung kepada jenis aduan yang dibuat.

“Selepas selesai siasatan jika ada pendakwaan, kita akan maklumkan dan anda akan tahu maklumat penuh,” ujarnya.

Katanya, tidak semua aduan akan diakhiri dengan siasatan kerana ada maklumat yang tidak lengkap.

“Kita terpaksa membuka kertas siasatan awal di mana kita perlu mengesahkan maklumat yang diberikan.

“Kadang-kadang ada orang memberi pelbagai bentuk dokumen tetapi kita tidak tahu sama ada ia dicetak daripada internet dan sebagainya,” ujar Latheefa lagi.

Beliau menjelaskan, selepas mengesahkan dakwaan baru SPRM akan membuka kertas siasatan.

“Saya tidak menafikan bahawa sudah pasti ada kes yang melibatkan orang kenamaan dan sebagainya tetapi perlukan pengendalian,” jelasnya.

Terdahulu, SPRM Sarawak mengesahkan menerima aduan mengenai penyelewengan ‘jerung besar’.

Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor berkata, terdapat lebih daripada satu aduan daripada orang awam tentang penyelewengan membabitkan jerung besar.

“Apabila kita menerima aduan daripada orang awam, Ibu Pejabat SPRM akan memberi arahan untuk penyiasatan.

“Kebiasaannya, siasatan terhadap kes berprofil tinggi dijalankan para pegawai dari Ibu Pejabat SPRM,” katanya.