BINTANGOR: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Bunjai Sagang, 53, lelaki yang dilaporkan hilang di Rumah Christina Kasun Pakan diteruskan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, operasi terpaksa ditangguhkan pada 6.00 petang semalam atas faktor cuaca gelap.

Katanya, operasi SAR turut dibantu agensi pihak Polis disertai penduduk rumah panjang.

“Pencarian kawasan pertama lokasi meliputi kawasan hutan di hadapan rumah panjang.Kita menjumpai kesan dan percaya ia lokasi mangsa berehat.

“Tumpuan pencarian pula tertumpu lokasi mangsa berehat radius 30 meter, namun tidak menjumpai sebarang jejak tapak mangsa. Pencarian dalam radius lingkungan 100 meter,” katanya ketika dihubungi.

Pasukan SAR menjumpai kesan dipercayai tempat mangsa berehat.

Beliau berkata, pencarian kawasan kedua dalam redius 50 meter sekitar kawasan hutan belakang rumah panjang, pasukan SAR tidak menjumpai sebarang petunjuk jejak.

Lelaki yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental itu dilaporkan tidak pulang ke rumah oleh keluarganya di Balai Polis Julau.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.55 pagi Sabtu lalu sebelum melancarkan Ops SAR.

“Dia kali terakhir dilihat keluar rumah hanya berseluar pendek dan tidak berbaju, ” katanya.

Sehubungan itu, Bomba membuka operasi Pos Kawalan Bomba (PKB) bagi memudahkan operasi SAR.