SIBU: Penyertaan masyarakat dalam keusahawanan menunjukkan peningkatan dengan 62,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini sepanjang tempoh 10 tahun.

Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan Datuk Naroden Majais berkata, peningkatan jumlah usahawan ini turut menunjukkan perkembangan positif bidang keusahawan di negeri ini.

“Berdasarkan statistik rekod kita dalam tempoh 10 tahun ini, kita melihat peningkatan penyertaan dalam keusahawanan oleh penduduk Sarawak meningkat daripada 43,000 kepada 62,000 usahawan,” katanya.

Naroden berkata demikian merasmikan Jejak PKS Bersama Media sempena Program Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 Peringkat Negeri Sarawak di hotel terkemuka di sini, semalam.

Menurutnya, peningkatan penyertaan usahawan didorong promosi kempen yang giat dilakukan kerajaan yang sentiasa memberi sokongan kepada bidang keusahawanan.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian dan membantu usahawan PKS dengan menyediakan pelbagai skim termasuk khidmat bimbingan serta modal.

“Usahawan PKS turut diberi pendedahan mengenai peluang perniagaan di dalam dan luar negara.

“Usaha ini dilakukan untuk membangunkan usahawan PKS yang merupakan salah satu penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” ujarnya.

Naroden yang juga Menteri Muda E-Dagang berkata, Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sarawak (SEDCC) telah ditubuhkan.

Menurutnya, jawatankuasa ditubuhkan untuk mewujudkan kolaborati antara agensi keusahawanan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber sedia ada khususnya kepada usahawan PKS di negeri ini.

SEDCC dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Naroden berharap kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk memberi pe- luang dan membangunkan usahawan di negeri ini.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie, Ahli Perbadanan SME Corp Malaysia Awang Habiburllah Awang Ismail, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce dan Pengarah Syarikat Torua Sdn Bhd (Hotel Zuhra) Syed Hamzah Wan Hamid.