MIRI: Sebanyak RM10 juta peruntukan akan disediakan untuk membiayai kos latihan bahasa Inggeris khasnya bagi guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tersebut adalah untuk memantapkan penguasaan b ahasa Inggeris dalam kalangan tenaga pengajar tempatan. Menurutnya, Sarawak adalah negeri pertama bersetuju membiayai sendiri pelan berkenaan dengan memberi bantuan RM10 juta bagi melatih guru dalam mengajar bahasa Inggeris pada tahun ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran GPS Zon 13 A untuk cawangan N71 Bekenu dan N72 Lambir di Bekenu di sini, semalam.

“KPM buat masa sekarang tidak mempunyai dana mencukupi untuk menampung kos tersebut. Bajet Kerajaan Persekutuan diperuntuk bermula tahun hadapan,” jelas beliau.

Maka kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak bersedia untuk membiayai sendiri kos tersebut.

“Keputusan itu adalah bagi menjayakan pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik,” katanya.

Tambahnya lagi, persetujuan Kerajaan Sarawak melaksana- kannya juga telah disuara kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Abang Johari turut memaklumkan, golongan ibu bakal menerima bantuan tambahan daripada Kerajaan Sarawak yang akan diumumkan pada penghujung tahun ini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan insentif RM1,000 kepada bayi di bawah Endowment Fund Sarawak (EFS), yang telah bermula 1 Januari.

Ujarnya lagi, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM40 juta setahun untuk tabung itu pada setiap tahun dan jumlah dijangka meningkat berdasarkan peningkatan jumlah bayi dilahirkan setiap tahun.

Empat sekolah termasuk dua tabika turut menerima geran tahunan khas bernilai RM5,000 pada majlis itu.