SIBU: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) membayar pampasan berjumlah RM11,839,866.51 juta kepada 216 pemilik tanah di Sibu, semalam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembayaran pampasan berkenaan untuk pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan balik tanah bagi pelaksanaan dua projek jalan raya di Sibu.

“Hari ini kerajaan menyerahkan 122 cek pampasan bernilai RM7,932,270.79 kepada 110 orang kepada pemilik tanah yang terlibat dalam Projek Pembinaan Jalan dari Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim, Sibu sepanjang 6.1 kilometer.

“Kita turut menyampaikan 113 cek pampasan bernilai RM3,907,595.72 kepada 106 pemilik tanah yang terlibat dalam Projek Pembinaan Jalan Rantau Panjang Rassau di Batang Igan Fasa Satu, sepanjang 6.8 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek pampasan berkenaan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Teks ucapannya dibaca Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Turut hadir Penolong Pengarah Penilaian Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Norlina Ra’ee mewakili Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sibu Kiu Chiong Chong dan Temenggong Stanley Geramong Bandar.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan berkata, projek pembinaan jalan dari Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim merupakan projek Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan jalan alternatif menghubungkan Sibu Jaya ke Bandar Sibu.

Manakala, projek Pembinaan Jalan Rantau Panjang Rassau di Batang Igan Fasa Satu jelasnya, akan memudahkan perhubungan penduduk kawasan Rassau dan sekitarnya.

“Terbinanya jalan ini nanti, ia memendekkan jarak perjalanan, menjimatkan masa perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas” katanya.

Oleh yang demikian katanya lagi Kerajaan Sarawak sentiasa peka dengan kehendak rakyat di negeri ini dengan menyediakan prasarana dan infrastuktur yang lebih sempurna bagi mempercepatkan pembangunan sosioekonomi di luar bandar.

“Usaha kerajaan untuk melipatgandakan pembangunan di kawasan luar bandar adalah selaras dengan hasrat untuk menjadikan Sarawak maju pada masa hadapan,” ujarnya.

Awang Tengah menegaskan setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak akan diberi pembayaran pampasan sewajarnya.

Katanya lagi, kerajaan tidak merampas tanah seperti didakwa oleh pihak tertentu.

“Kerajaan membayar pampasan yang adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.