KUCHING: Datuk Sri Wong Soon Koh wajar meletakkan jawatan jika beliau yakin kedudukan dalam kabinet sudah tidak diperlukan lagi tanpa perlu menunggu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membuat keputusan.

Penganalisis politik Unimas Dick Lembang Dugun berkata, anggapan Presiden PSB bahawa semua kaki dan lengannya telah dipotong dan dianggap gagal berfungsi dalam kabinet wajar dilihat sebagai tanda jelas terhadap kedudukan politik beliau.

“Letak jawatan jika beliau sayang kepada perjuangan politik terutamanya dalam menyediakan pasukan kuat untuk PRN,” katanya.

Semalam pada Persidangan Delegasi Tahunan (ADC) PSB di Sibu, Soon Koh menyerahkan kedudukannya dalam kabinet kepada Ketua Menteri.

Menurut Soon Koh, hanya Abang Johari yang boleh membuat keputusan.

Kata Dick lagi, Soon Koh perlu mengintrospeksi diri dan mengakui hakikat bahawa dia sudah tidak mempunyai pilihan kecuali perlu mengundur diri secara terhormat.

“Sudah terlalu banyak isyarat bahawa PSB sudah tidak mempunyai tempat dalam GPS. Jadi, Soon Koh harus dapat membaca isyarat berkenaan. Bagi saya, perkembangan yang berlaku adalah kerana kesilapan PSB dan beliau sendiri. Maksudnya, beliau tak boleh salahkan pihak lain,” katanya.