SANTUBONG: Jangan mencari parti lawan sahaja untuk didakwa tetapi parti sendiri tidak disiasat.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata, Sarawak bersedia menunggu dan melihat SPRM mendakwa individu berjawatan tinggi.

“Dalam mereka menyiasat, jangan hanya memilih parti lawan sahaja untuk didakwa tetapi parti mereka juga harus disiasat dan didakwa.

“Biarlah siasatan dilakukan dengan telus dan jelas,” katanya ketika ditemui media semasa Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia di Kampung Budaya Sarawak di sini, kelmarin.

Karim juga menggesa siasatan dilakukan terhadap individu yang dikesan tidak melaksanakan tugas dengan betul.

“Saya sendiri ingin melihat mereka yang terlibat rasuah didakwa di mahkamah supaya negara kita ini bebas rasuah,” jelasnya.

Dalam kenyataan media pada 12 Julai lepas, SPRM mengesahkan terdapat kes melibatkan individu berjawatan tinggi di Sarawak.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya tidak dapat mendedahkan apa-apa butiran kerana siasatan sedang dijalankan.