SARIKEI: Badan beruniform di sekolah seperti kadet polis bukan sahaja memberi pendedahan awal mengenai peranan bidang kepolisian tetapi juga membantu menangani masalah jenayah dan keruntuhan moral dalam kalangan pelajar.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitenden Awang Arfian Awang Bujang berkata, selain membentuk sahsiah pelajar, kadet polis juga mampu melahirkan generasi muda yang lebih berdisplin dan bertanggungjawab.

Malah katanya, pelbagai aktiviti dalam pasukan itu termasuk menitikberatkan soal disiplin dan penjagaan penampilan diri berupaya membentuk kemantapan jati diri sebagai pelajar.

“Pada masa yang sama, mereka juga boleh menyalurkan maklumat kepada pihak pentadbiran berhubung sebarang masalah pelajar termasuk penglibatan mereka dalam sebarang bentuk jenayah.

“Kadet Polis mampu meningkatkan disiplin diri pelajar dengan mematuhi peraturan, melahirkan insan yang bertanggungjawab selain mantap dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya pada Majlis Perhimpunan Hari Kor Kadet Polis ke 49 Peringkat Daerah Sarikei, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagai pelajar, ahli kadet polis harus sentiasa memberi perhatian terhadap pencapaian akademik bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dan mampu menjadi insan cemerlang dalam segenap bidang.

Pada masa yang sama ujarnya, ia juga mampu mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat dan polis.

“Kita mengalak mereka menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah terutama di kawasan sekolah. Bagaimanapun jangan bertindak sendiri sebaliknya, serahkannya kepada pihak Polis,” katanya.

Perhimpunan itu disertai seramai 95 pelajar yang masing-masing mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, SMK Sungai Paoh, SMK Sarikei Baru, SMK Bandar Sarikei, dan SMK Tinggi.

Antara pelajar yang menyertai perhimpunan.