Datuk Seri Wong Soon Koh semalam mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet Sarawak, jawatan yang disandangnya sejak  2004.

Namun peletakan jawatan itu tidak meletakkan tarikh, kerana beliau perlu bertemu muka dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi melepaskan tanggungjawab itu secara ‘terhormat.’

“Sebagai Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Kedua, banyak yang perlu saya bincangkan dengan beliau, dan banyak isu yang perlu diselesaikan bersama.

“Ia keputusan yang telah dimuktamadkan, dan bukan bermaksud ‘mencari rujuk’, cuma kami perlu putuskan bersama tarikh yang sesuai,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, Tingkat 3 Bangunan Baitulmakmur di sini.

Atas nama integriti politik, beliau turut melepaskan kedudukannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang Sarawak.

Ini sekali gus menamatkan keluh-kesah sejak awal tahun ini akan berlaku rombakan dalam Kabinet Abang Johari. Malah ia menyelesaikan kemelut kedudukan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dipimpin Soon Koh, yang tidak dinafikan untuk menyertai Gabungan Parti Sarawak.

“Pilihan kami lebih besar selepas ini. Namun kami tetap menyokong Ketua Menteri dalam isu yang berkaitan dengan Sarawak,” katanya lagi.

Menjadi sasaran beliau dalam sidang media itu, tentulah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang dua tiga hari ini kencang mengkritik Soon Koh. Soon Koh membidas kenyataan tentang RM31 bilion yang harus dibelanjakan untuk pembangunan Sarawak sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak berlangsung, lengkap dengan menayangkan keratan akhbar.

Tegasnya, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kewangan Sarawak, beliau tidak dapat membenarkan itu berlaku. Itu antara topik yang akan dibincangkanya dengan Ketua Menteri, sebelum surat peletakan jawatannya diserahkan.

Yang pasti, Soon Koh, 77 tahun, anggota paling tua dalam kabinet Sarawak telah melaksanakan sidang media terakhirnya sebagai ‘menteri’. Dia melakukannya dengan tenang; pada mulanya hanya menyediakan hidangan KFC kerana menyangkakan tidak ramai wartawan akan hadir. Namun mesyuarat terpaksa berpindah ke Tingkat 3, kerana jumlah yang hadir melimpah.

Soon Koh mendakwa memiliki 3,000 ahli, justeru beliau memiliki moral locus standi untuk melepaskan jawatan. Apatah lagi beliau memahami mesej “Sentuh seorang bermakna sentuh kami semua!” oleh Ketua Menteri.

“Saya yakin saya benar, kerana itu saya tenang,” katanya lagi di akhir sidang media. Ditanya sama ada PSB aktif bertanding pada Pilihan Raya Negeri kelak, beliau sambil berseloroh berkata: ‘Mengapa tidak? Malah di Baleh, kerana kita ada calon berwibawa,” katanya.

Ternyata tindakan Soon Koh adalah nekad. Apatah lagi parti miliknya sudah tidak ada apa-apa; peruntukan MRP dan RTP dihentikan, manakala ahli majlis perbandarannya tidak dilantik semula. Untuk memasuki GPS, bukan tindakan yang mudah kerana bantahan mesti wujud daripada PRS dan SUPP.

Dalam tempoh tiga tahun ini, Soon Koh banyak melangkah. Daripada SUPP ke teras dan dua tiga hari ini, melangkah keluar dari pejabatnya sebagai menteri kerajaan. Terima kasih Soon Koh!