Golongan muda di Sarawak sudah pasti dapat mengundi dalam pilihan raya negeri  (PRN) yang bakal diadakan pada tahun depan atau tahun berikutnya. Seramai 100,000 pengundi muda baharu di seluruh Sarawak bakal mengundi. Adakah mereka akan mengundi Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baharu Sarawak?

Bagaimanakah pola pengundian kelompok muda? Apakah mereka menyokong GPS atau PH? Pola pengundian bukan lagi rahsia kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan saluran bagi pembuangan undi. Pengiraan juga mengikut saluran. Cuma yang tidak tahu ialah siapa undi siapa? Apakah faktor yang mempengaruhi keputusan golongan muda? Kemenangan kepada GPS akan menjadi isyarat kepada PH bahawa kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 tidak mudah.

Semasa PRU ke-14, kita sudah tahu bagaimana 5 juta pengundi muda yang mengundi buat kali pertama membuang undi mereka. Bilangan pengundi muda ini dalam PRU ini lebih besar berbanding dengan 600,000 pengundi muda pada PRU-12 dan kira-kira 3 juta pada PRU-13. Dalam PRU ke-15, dijangka 10 juta pengundi muda berikutan kemasukan golongan berumur 18 tahun dalam daftar pengundi. Suara kelompok pengundi 18-29 tahun perlu diberi perhatian.

Dalam PRU ke-14, golongan muda “termakan” janji PH dengan mengundi parti ini ke Putrajaya. Namun begitu, selepas membentuk kerajaan, “janji manismu” nyanyian Aishah yang menjadi kenyataan. Apakah kesan pusingan-U ini kepada PH dalam PRU ke-15?.

Persepsi Negatif

Persepsi negatif terhadap Barisan Nasional (BN) dengan isu GST dan 1MDB yang digembar-gemburkan oleh PH dalam media sosial dikatakan turut mempengaruhi pola pengundian golongan muda ini. Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai PH turut memberi kelebihan kepada gabungan empat parti DAP, PKR Amanah dan Bersatu.

Kepada kelompok pengundi muda, mereka mengenali Tun Mahathir sebagai Bapa Malaysia Moden. Buku sejarah menceritakan kejayaan dan perubahan yang dibawa oleh beliau. Beliau dikenali sebagai Perdana Menteri keempat yang berjaya meletakkan asas Malaysia sebagai sebuah negara maju. Kejayaan ini ialah kejayaan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan kejayaan parti BN yang dipimpinnya.

Apabila Tun Mahathir keluar dari Umno sebelum PRU ke-14, menubuhkan Bersatu dan bergabung dengan DAP, PKR, dan Amanah membentuk PH, kebanyakan penganalisis politik tidak sedar sedang berlaku anjakan dalam kalangan pengundi bandar dan muda di seluruh negara yang bakal menenggelamkan BN. Datuk Seri Najib yang memimpin BN turut terkejut dengan kekalahan ini.

Pada 9 Mei 2018, Umno memenangi 54 kerusi dan didokong lebih 3.5 juta rakyat, yang rata-rata Islam dan Melayu. PH pula menguasai 73 kerusi bukan Islam dan Melayu serta 41 kerusi mewakili Islam dan Melayu. Dengan kata lain, Umno masih lagi relevan dalam senario politik.

Pengundi Muda

Pola pengundian golongan muda dalam PRN ini bakal dijadikan kayu pengukur untuk memerihalkan cara kelompok ini mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) yang diadakan selewat-lewatnya 2023. Golongan 18-29 tahun dikatakan sebagai kelompok majoriti dan PH meletakkan harapan tinggi untuk terus memerintah dengan mandat daripada kumpulan pengundi muda ini.

Orang muda di negara ini memperoleh pelbagai maklumat melalui media sosial. Media tradisional tidak mendapat tempat di hati mereka. Bagaimanakah kelompok muda ini mengundi? Apakah media sosial mempengaruhi keputusan golongan muda mengundi? Wattenberg (2015) menjawab soalan ini dalam bukunya Is Voting for Young People?

Kajian beliau di Amerika Syarikat menunjukkan kelompok umur ini tidak mengikut perkembangan politik semasa, apatah lagi mengundi. Calon, isu, blog tidak mempengaruhi keputusan mereka. Kelompok ini rata-rata tidak keluar mengundi.

Hal ini berbeza sekali di Malaysia apabila kelompok umur 21-29 tahun berduyun-duyun keluar mengundi dalam PRU ke-14. Mereka menyokong PH dengan mengharapkan pelbagai janji yang terkandung dalam manifesto PH. Isu Datuk Seri Najib turut menjejaskan kredibiliti BN ketika itu. Kini Najib tidak ada lagi dalam perkiraan mereka apabila beliau dikalahkan dan berhadapan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

Gambar hiasan

Janji PH

Kini, PH tidak mampu mengawal kenaikan harga barang walaupun GST sudah diganti dengan SST. Kenaikan barang kerana manipulasi penjual, bukan GST. Dalam media sosial, PH mendakwa kenaikan harga barang disebabkan GST. Sejuta pekerjaan yang dijanjikan dalam masa lima tahun belum lagi menjadi kenyataan. Rumah mampu milik belum lagi menjadi kenyataan.

Gaji minimum yang dinaikkan terpaksa difikir semula sebab kesannya kepada industri. Pengguna bakal menyaksikan kenaikan harga minyak apabila subsidi minyak ditarik balik menerusi mekanisme baharu untuk memberikan kelebihan kepada kelompok 40 peratus ke bawah dalam masyarakat (Bottom 40). Penarikan subsidi bererti kos pengangkutan akan naik dan harga barangan turut terjejas. Apakah kesan isu-isu ini kepada keputusan pengundi?

Kajian Charles Mwidima Peters (2017) mendapati faktor keluarga bukannya media sosial mempengaruhi keputusan pengundi. Ibu bapa mempengaruhi cara undian anak mereka. Kajiannya mendapati anak muda belum memiliki kematangan berpolitik. Literasi politik mereka amat cetek. Apakah PH yakin ini memberi kelebihan kepada mereka? Hal ini terserlah apabila PH mengubah suai pindaan Perkara 119 dan 47 Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira usul pembangkang.

• Prof. Madya Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan pensyarah Program Komunikasi Strategik, Fakulti Bahasa & Komunikasi Unimas.