SIBU: Satu aktiviti maksiat di sini berjaya dikesan oleh polis di bandar ini yang membawa kepada penangkapan seorang bapa ayam warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit dalam kenyataan sebentar tadi berkata, lima wanita warga asing turut ditahan di premis tingkat di Jalan Wong King Huo.

Katanya, lelaki terbabit berumur 40 tahun manakala dua wanita rakyat China dan tiga lagi wanita berasal dari Filipina berumur 25 hingga 35 tahun.

“Suspek lelaki disyaki melanggar peraturan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja tanpa permit yang sah,” jelasnya.

Katanya, seorang wanita warganegara China berumur 35 tahun ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen kerana tiada permit kerja yang sah manakala empat wanita asing yang lain ditahan untuk dokumentasi atas dakwaan maksiat atau persundalan.

“Kesemua suspek berkenaan telah dimasukkan ke dalam lokap untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Stanley memberitahu, serbuan itu diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sibu DSP Hadian Keria yang turut menahan tiga lelaki tempatan iaitu pelanggan yang berada di premis serbuan untuk dijadikan saksi kes.

Turut dirampas semasa serbuan itu, ujarnya, ialah satu buku catitan kerja/perniagaan, satu unit dekoder CCTV, satu unit modem, satu unit monitor dan wang tunai berjumlah RM 3,080.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 55B/39B Akta Immigresen 1959/63,” tambah beliau lagi.