Sarawak menerima tamparan hebat apabila berdepan dengan kes bunuh diri yang seakan menjadi ‘trend’ dan agensi berkaitan perlu mengambil tindakan segera bagi mengekang kes bunuh diri berterusan.

Ironinya, kita sebagai rakyat amat terkesan dengan berita yang dipaparkan dalam akhbar dan laman sosial iaitu dalam tempoh tiga hari tiga kes bunuh diri direkodkan walaupun dua daripadanya melibatkan warga asing.

Kita bimbang seandainya kes-kes seperti ini dibiarkan melarat, akan ditiru oleh mereka yang merasakan boleh membuat perkara demikian, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh.

Kita juga tahu punca sebenar kes ini dari masalah kebimbangan melampau, kemurungan, ketegangan jiwa dan tekanan hidup yang menjadi penyumbang kepada gangguan mental.

Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 sebelum ini menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.

Kajian sama turut menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.

Statistik berkenaan membuktikan isu kesihatan mental khususnya dalam kalangan anak muda amat serius dan perlu ditangani secara berkesan oleh semua pihak.

Cubaan Bunuh Diri

Ini termasuk cubaan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat dua asrama sekolahnya di Sri Aman kira-kira jam 2.50 pagi, pada 21 September tahun lalu sekali gus membongkar rahsia pelajar ini yang pernah menjadi mangsa rogol datuk tirinya.

Namun, isu kesihatan mental kesan daripada kepincangan institusi kekeluargaan sebegini kurang mendapat perhatian kerana ia menjadi ‘taboo’ dalam kalangan masyarakat menyebabkan mereka yang berhadapan masalah mental tidak mendapat rawatan sepatutnya.

Begitu juga dengan rakyat yang dikategorikan sihat namun kurang pendedahan tentang kemurungan menjadi punca kebanyakan kes bunuh diri ini terjadi.

Manakala Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye tahun lalu turut menegaskan, kemurungan bakal menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia menjelang 2020.

Hal ini kerana susulan semakin ramai orang dijangka mengalami peningkatan kemurungan akibat tekanan kerja dan keluarga namun tidak ramai yang mengambil peduli dan kesannya amat mendalam kepada masyarakat kerana melibatkan kehilangan nyawa.

Semua pihak perlu sedar bahawa kemurungan boleh dirawati lebih awal jika kita tahu gejalanya melalui perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan.

Kita perlu mengambil pandangan jujur dan realistik mengenai perkhidmatan kesihatan mental serta bilangan pakar kesihatan mental sangat sedikit terutamanya dalam sektor awam.

Beberapa perkhidmatan rawatan yang ada hanya tertumpu di kawasan bandar dan perkara ini perlu diteliti dengan mengambil iktibar daripada kes-kes yang berlaku sebelum ini.

Insurans Kesihatan Mental

Selain daripada perkhidmatan ratawan sudah tiba masanya untuk kita memperkenalkan pelan insuran yang menyediakan penjagaan kesihatan mental.

Pelan ini harus merangkumi organisasi awam dan swasta bagi menjalankan kempen untuk memerangi diskriminasi terhadap mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dan menyingkir stigma berkaitan penyakit mental selain fokus kepada latihan pakar kesihatan mental.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia turut mencadangkan pelaburan dalam program pencegahan dan intervensi bagi kemurungan, psikosis dan penyalahgunaan bahan berbahaya.

Dalam kempen pilihan raya, Pakatan Harapan juga berjanji lebih banyak sumber kerajaan akan disalurkan kepada penjagaan kesihatan mental melalui hospital kerajaan.

Buku Harapan menyebut bahawa sumber manusia dan liputan insurans dan gesaan kewujudan rancangan program kesedaran bagi menangani masalah kesihatan mental dan kemudahan intervensi awal.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo juga mengulas mengenai kes bunuh diri dan mempertimbangkan cadangan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia bagi meningkatkan penguatkuasaan terhadap buli siber dan cubaan bunuh diri.

Contohnya bagi kes gadis berusia 16 tahun yang membunuh diri di Kuching, Sarawak selepas majoriti responden di Instagram menyokong keputusannya untuk membunuh diri.

Kata Gobind, ini adalah usaha untuk menangani dan jalan penyelesaian berkesan terhadap masalah mental serta kes bunuh diri yang semakin membimbangkan.

Justeru sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu menjadi seorang pendengar dan jangan sesekali mengetepikan golongan yang mempunyai masalah kemurungan dan adalah penting untuk mengesan tanda kemurungan lebih awal.