DARO: Pasukan Bomba Sukarela (PBS) khususnya di daerah ini tetap berperanan penting sebagai pelengkap usaha menyelamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, pasukan itu perlu berganding bahu bersama Bomba dalam menangani insiden yang tidak diingini termasuk kemalangan dan kebakaran.

Malah katanya, PBS boleh memberikan respon awal jika berlaku kejadian tidak diduga yang membabitkan keselamatan penduduk di kawasan masing-masing.

“Kita amat bersyukur Kerajaan Sarawak cukup prihatin dengan keperluan rakyat Daro. Usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ini sememangnya memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

“Namun ini bukan bermakna PBS tidak lagi relevan sebaliknya, peranan mereka semakin penting terutama apabila berlaku kecemasan lebih-lebih lagi kawasan yang jauh dari balai Bomba,” katanya pada majlis bersama Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Daro, semalam.

PBS Daro kini mempunyai seramai lebih 50 orang anggota aktif sejak ditubuhkan pada 11 April 2011.

Sepanjang tempoh sembilan tahun penubuhannya, PBS Daro pernah terlibat dalam pelbagai operasi menyelamat termasuk tragedi bot karam Muara Lassa, kebakaran klinik Daro dan beberapa lagi kejadian yang seumpamanya.

Selain itu pasukan ini juga aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan.

Pada majlis yang sama, Safiee turut menyampaikan sumbangan RM4,000 bagi membantu aktiviti PBS, 50 unit kerusi plastik dan mesin rumput kepada Balai Bomba Daro selain mesin rumput untuk kegunaan belia Kampung Nangar.

“Penganjuran program seumpama ini sangat penting kerana mampu meningkatkan hubungan antara pihak bomba dan masyarakat setempat. Dalam pada itu, ia juga mendedahkan kepelbagaian skop tugas Bomba selain kebakaran,” katanya.