KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu jumlah pengunjung yang datang ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang berakhir Ahad lalu merupakan antara yang tertinggi sejak 22 tahun ia dianjurkan.

Katanya, berdasarkan rekod gelang tangan yang diberikan kepada pengunjung untuk masuk ke festival tersebut, lebih 23,650 jumlah pengunjung telah hadir.

“Sehingga festival muzik itu berakhir kita bersyukur tiada masalah berlaku, tiada pergaduhan dan tiada kecelakaan.

“Tahun ini pihak kita lebih tegas dalam memberi pas masuk menggunakan gelang tangan kepada pengunjung, jika dibandingkan dengan tahun tahun lalu.

Pada masa yang sama katanya, penaiktarafan pagar di sepanjang lokasi Kampung Budaya Sarawak banyak membantu mengelak pengunjung tanpa diundang menerobos masuk,” katanya dalam sidang semalam.

Pada tahun hadapan Abdul Karim berkata festival tersebut juga akan diadakan di lokasi yang sama, dan beliau akan terus berusaha meneruskan penganjurannya pada bulan Julai setiap tahun.

“Sepuluh hari sebelum festival muzik tersebut kita juga akan adakan Rainforest Fringe Festival dan Rainforest In The City (RITC).

“Terdapat permintaan yang tinggi daripada orang awam untuk meneruskan program RITC untuk tahun-tahun yang akan datang,” ujarnya lagi.