SARIKEI: Langkah proaktif Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat membuka peluang ekonomi kepada usahawan terutama kontraktor Bumiputra tempatan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, Kerajaan Sarawak memperuntukan sekurang-kurangnya RM648juta setahun bagi melaksanakan projek pembangunan yang disalurkan melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan baikpulih rumah bagi semua 72 DUN di bawah ADUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) di seluruh Sarawak iaitu RM9.0 juta untuk setiap DUN.

“Pembiayaan yang sedemikian sudah pasti membuka peluang serta penglibatan para usahawan kontraktor. Ini juga membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai program termasuk membangunkan usahawan kontraktor Bumiputera.

“Difahamkan terdapat sejumlah 5,900 kontraktor Bumiputera dalam kategori kerja, mekanikal, elektrikal, pembekalan dan perkhidmatan yang berdaftar dengan unit Pendaftaran Kontraktor Bumiputera dan Juruperunding di bawah Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak. Manakala, jumlah kontraktor Bumiputera Kelas C hingga F di bahagian Sarikei pula seramai 609 orang,” katanya pada majlis penangguhan Simposium Usahawan Kontraktor Siri Sembilan Bahagian Sarikei, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Muda Usahawan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak, Datuk Naroden Majais.

Naroden menyampaikan sijil anugerah kepada salah seorang kontraktor sambil diperhatikan tetamu yang lain.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK 11), Kerajaan Sarawak meluluskan siling peruntukan sebanyak RM2.0 bilion bagi melaksanakan projek RTP dalam memastikan segenap lapisan rakyat mendapat manfaat.

Perlaksanaan projek itu katanya, secara bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada kontraktor Bumiputera tempatan tetapi juga memberi peluang kepada mereka menyumbang menjayakan dasar kerajaan.

“Sehubungan itu, saya minta Pejabat Residen melaksanakan cabut undi dengan seadil-adilnya bagi memberi peluang kepada semua kontraktor mendapat projek.

“Pada masa yang sama, kontraktor harus memastikan projek yang dilaksanakan siap sepenuhnya mengikut tempoh perlaksanaan dan kualiti ditetapkan. Selain itu, aspek keselamatan pekerja dan orang awam sentiasa diutamakan,” katanya.

Antara peserta yang mengambil bahagian

Awang Tengah turut menggesa kontraktor agar terlibat secara langsung dalam perlaksanaan projek yang diberikan kepada mereka.

Tegasnya, mereka akan menjadi tidak beretika jika menyerahkan 100 peratus projek kepada pihak lain (Ali Baba) untuk melaksanakannya dengan harapan mendapat sedikit pulangan daripada projek berkenaan.

“Kontraktor boleh bekerjsama dengan kontraktor bukan Bumiputera namun mereka perlu terlibat secara langsung dan aktif dalam pengurusan projek sehingga siap mengikut jadual.

“Selain pembangunan kapasiti seperti hari ini, kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman kepada para usahawan demi mengukuhkan keupayaaan dalam proses penyampaian atau penyiapan kerja yang dijanjikan,” ujarnya.

Hadir sama, Menteri Muda Industri dan Pelaburan Malcom Mussen Lamoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad, ADUN Meradong N.46, Datuk Ding Koung Hiing dan Residen Sarikei, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua.

Antara peserta yang mengambil bahagian