Pembangunan ekonomi digital bukan sahaja dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi, malah berupaya bertindak sebagai faktor penarik kepada pelabur, pembinaan modal insan dan penyelidikan.

Pendekatan dan dasar ekonomi digital Sarawak tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya usaha dijalankan untuk mengembangkannya ke kawasan luar bandar.

Usaha ini sejajar dengan agenda untuk menjadikan negeri ini sebagai hab industri berteknologi tinggi.

Terdapat beberapa asas kukuh boleh dilaksanakan seperti penyediaan prasarana dan infrastruktur khususnya kepada PKS bagi peralihan kepada industri berteraskan teknologi.

PKS boleh meneroka cabang perniagaan baharu seperti penyediaan data besar, cetakan tiga dimensi (3D) dan e-Dagang, seterusnya menjadi lebih berdaya tahan dalam ekosistem Industri 4.0.

Dengan adanya peralihan ini, secara tidak langsung menarik minat pelabur komponen hiliran bagi menyokong sektor berteknologi tinggi di Sarawak dan negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, Sarawak tidak mahu ketinggalan dari segi penggunaan teknologi digital dan pertumbuhan ekonomi digital yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sarawak mampu setanding dengan negara maju dalam era digital yang menyaksikan dunia dengan istilah teknologi yang lebih rumit termasuk telekomunikasi 5G, Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Voice Recognition, Virtual and Augmented Reality (VR / AR).

Menurutnya, banyak faedah lain dalam ekonomi digital yang hampir diterajui semua negara di dunia dan Sarawak juga merangka strategi dan pelan tindakannya yang kini berada di peringkat pelaksanaan.

“Beberapa inisiatif strategi ekonomi digital antaranya adalah dalam konteks kerajaan digital, perkilangan, bandar pintar, pelancongan, pertanian dan e-Dagang.

“Inisiatif kerajaan digital, sistem identifikasi dan pengesahan dalam talian dikenali sebagai ID Sarawak dilaksana untuk membolehkan orang ramai mengakses dan menggunakan pelbagai perkhidmatan dalam talian atau sistem aplikasi Kerajaan Sarawak,” katanya.

Ketua Menteri berkata setakat 1 Julai, jumlah pengguna berdaftar ID Sarawak mencecah 208,644 dengan 20 perkhidmatan kerajaan boleh diakses secara dalam talian.

Langkah itu perlu dilaksanakan secara serius kerana ia mampu mengurangkan penghijrahan anak muda desa ke bandar. Kebanyakan kumpulan pekerja PKS melibatkan tenaga kerja tempatan dan separa terlatih yang menikmati manfaat kemajuan robotik dan komunikasi digital.

Kemudahan ini diletakkan di institut penyelidikan tinggi dan agensi penyelidikan di bawah kementerian.

Melalui program pemetaan penyelidik, diharap kerajaan dapat mengenal pasti penyelidik berminat dan berpotensi untuk bekerja, mendapat pengalaman dan berkongsi kepakaran.

Selain itu, kebenaran mengakses fasiliti dan peralatan saintifik dengan pihak swasta juga membantu mereka untuk menggunakan kemudahan yang ada dan penyelidik dapat berkongsi kepakaran.

Bagaimanapun program ini memerlukan penelitian lebih rapi terutamanya apabila membabitkan kos guna sama, hak cipta dan sebagainya.