KUCHING: Kebarangkalian video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali tulen adalah tinggi, menurut hasil analisis CyberSecurity Malaysia.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata hasil analisis yang sama tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip menteri itu.

“Disahkan bahawa kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi.

“Dan hasil proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan wujud pakatan yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik dalam menyebaran video berkenaan,
bertujuan mengaibkan dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.

“Video yang disebarkan dengan tujuan membangkitkan kegusaran masyarakat tertentu, telah dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit,” katanya.