Gejala penyalahgunaan dadah di Sarawak bukan hanya melibatkan golongan dewasa dan belia, tetapi turut merebak dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Dalam laporan akhbar awal tahun ini, pelajar sekolah menengah yang positif dadah di Sarawak setakat Oktober 2018, mencatatkan jumlah tertinggi di Malaysia.

Laporan ini pasti mengundang kerisauan dalam kalangan masyarakat marhaen tentang keselamatan anak-anak mereka daripada ancaman najis dadah.

Berpandukan statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sarawak mencatatkan 693 penagih dadah pada 2018.

Jumlah tersebut meningkat sebanyak 47.4 peratus berbanding 470 pada 2017. Antara kawasan yang berisiko ialah Gita, Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

Walaupun berada pada kedudukan ke-13 di Malaysia, penyalahgunaan dadah di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar amat membimbangkan.

Kerisauan ini telah disuarakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam sesi Dialog Pembangunan Sosial anjuran Majlis Pembangunan Sosial di Rumah Dau Gandau, Temadak, Ulu Spak.

Meningkat Di Luar Bandar

Menurut Uggah, peningkatan kes dadah di luar bandar banyak dipengaruhi oleh tahap sosio-ekonomi masyarakat serta sistem perhubungan jalan raya yang lebih baik.

Selain itu, ketiadaan pengetahuan terhadap bahaya dadah, serta kurangnya penguatkuasaan menyebabkan gejala negatif ini mudah mempengaruhi golongan muda di kawasan luar bandar.

Buktinya, sepanjang Julai tahun ini sahaja, sebanyak tiga kes berkaitan dadah di kawasan luar bandar dilaporkan dan individu yang terlibat berjaya diberkas oleh pihak polis.

Antaranya, penangkapan tiga tokan dadah di Bau yang melibatkan dadah jenis syabu seberat 6.25 gram dan dipercayai memulakan pengedaran dadah pada awal tahun ini.

Di Bintulu, pihak polis berjaya memberkas dua warga asing bersama dadah jenis syabu seberat 49.8 gram di Kilometer 93, Jalan Bintulu-Tuba.

Manakala di Sematan, Lundu, seorang jurutera tapak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo ditahan oleh pihak polis bersama 31.15 gram syabu.

Tokan Dadah

Penangkapan tokan-tokan dadah ini jelas menunjukkan bahawa kawasan luar bandar di Sarawak tidak lagi selamat daripada ancaman dadah.

Terbaharu pihak polis Sarawak berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 547 gram, 300 papan Erimin 5 seberat 899 gram, ketamin seberat 543 gram dan 75 biji pil ekstasi seberat 22 gram di Sibu.

Rampasan ini jelas membuktikan ancaman dadah di Sarawak bukan lagi suatu perkara yang boleh dipandang ringan, malah boleh mengundang malapetaka kepada masyarakat jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan.

Sehubungan itu, semua pihak harus berganding bahu untuk membersihkan negeri ini daripada ancaman najis dadah.

Antaranya memberikan maklumat terkini berkaitan dadah kepada masyarakat, khususnya dadah jenis sintetik seperti syabu, methamphetamine, ketamin, erimin dan ekstasi yang mungkin kurang diketahui oleh mereka.

Dalam hal ini juga, Ketua Masyarakat mahupun Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu bekerjasama dengan pihak AADK dan pihak polis dalam penganjuran program kesedaran antidadah.

Program sebegini perlu dijalankan secara berkala, agar informasi terkini berkaitan dadah serta kaedah pencegahan dan rawatan bagi anggota keluarga yang terlibat dengan najis dadah, dapat disalurkan.

Selain itu, ibu bapa dan penjaga merupakan individu penting yang berupaya menyelamatkan golongan muda daripada najis dadah.

Kebebasan

Usah terlalu memberikan kebebasan kepada anak-anak sehingga mereka mudah menerima pengaruh negatif dari luar khususnya rakan sebaya. Daripada statistik AADK, pengaruh kawan menjadi sebab utama penagihan dadah.

Sehubungan itu, sentiasa periksa beg sekolah, bilik tidur serta pantau aktiviti anak-anak anda dari semasa ke semasa.

Jika terdapat sesuatu yang mencurigakan seperti serbuk putih, serbuk kristal, pil dan cecair, sila laporkan segera kepada pihak AADK bagi tujuan pengesahan.

Usah khuatir untuk melaporkan masalah penagihan dadah dalam kalangan ahli keluarga kita kepada pihak AADK.

Hal ini kerana, AADK mempunyai Klinik Cure & Care yang menyediakan perkhidmatan pemulihan dan rawatan penagihan dadah secara sukarela melalui seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Perkhidmatan yang disediakan terbuka kepada semua golongan sasar sama ada pengguna, penyalahguna dan penagih dadah untuk mendapatkan rawatan awal apabila terlibat dengan masalah penagihan dadah.

• Dilah Tuah ialah Timbalan Dekan dan Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.