SIBU: Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Pahlawan Mohamad Dzuraidi Ibrahim semalam mendedahkan kes penggunaan dadah di negeri ini semakin membimbangkan.

Menurutnya, berdasarkan tangkapan sepanjang tahun ini, jumlah jenayah terbabit meningkat berbanding tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun keadaannya terkawal dengan tindakan pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik yang begitu agresif,” ujarnya ketika mengadakan lawatan kerja sehari ke IPD Sibu, semalam.

Beliau memberitahu, dadah jenis syabu merupakan dadah paling banyak digunakan di negeri ini.

Dzuraidi berkata, walaupun kes dadah meningkat tetapi jumlah tangkapan turut meningkat — menunjukkan kes dapat diselesaikan dengan baik kerana ada tindakan dibuat.

“Kejayaan rampasan turut meningkat,” tambahnya lagi sambil mengakui pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan tangkapan kes-kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Dzuraidi lagi, secara keseluruhan, indeks jenayah di negeri ini termasuk di Bahagian Sibu adalah terkawal dan PDRM dapat mengatasi ataupun menyelesaikan kebanyakan kes ini.

“Kita mahu mengekalkan usaha baik PDRM dengan masyarakat setempat serta agensi dan jabatan lain.

“Secara tidak langsung ini akan membantu kita membanteras jenayah sekali gus mewujudkan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat akan buruknya jenayah,” tambahnya lagi sambil memberitahu aspek pendidikan dan kempen dalam kalangan masyarakat adalah platform terbaik untuk mewujudkan kesedaran tentang bahayanya pengguna dadah.

Mengenai lawatannya ke IPD Sibu, beliau berkata, ia bertujuan mempengerusikan mesyuarat aset PDRM peringkat Kontijen Sarawak.

“Lawatan kerja ini juga adalah sempena pertukaran saya ke JSJ Bukit Aman, dan saya dikehendaki melaporkan diri pada 25 Julai depan.

Turut hadir Ketua Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dennis Leong, Ketua Siasatan Jenayah Komersial Supt Mustapha Kamal Gani Abdullah, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit dan timbalannya Supt Martin Koo.