KUCHING: Kesedaran politik bagi umur 18 tahun untuk mengundi masih rendah terutama di kawasan luar bandar.

Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol berkata, kesediaan dan kesedaran politik dalam kalangan belia berusia 18 tahun masih rendah terutama kawasan luar bandar.

“Perkara menjadi kerisauan saya kerana mereka baharu mendaftar sebagai pengundi terutama bagi yang berumur 18 tahun di kawasan luar bandar.

“Ini kerana kesedaran politik mereka masih kurang berbanding kebanyakan belia di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 Peringkat Negeri Sarawak semalam.

Tambahnya, Pilihan Raya Umum (PRU) memberi peluang kepada mereka yang berusia 18 tahun.

“Melalui pengalaman saya lapan tahun lepas, ramai penduduk kampung hanya memahami pilihan raya itu ialah Barisan Nasional dan BN itu adalah pilihan raya.

“Mereka tidak tahu bahawa mereka juga boleh mengundi parti lain kerana undi adalah rahsia,” katanya lagi.

Tambah Mordi, beliau tidak kisah masyarakat hendak mengundi mana-mana parti, yang penting asas politik dan maksud pilihan raya itu difahami masyarakat luar bandar.