MUKAH: “Jenayah siber adalah satu isu yang semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa dan memberikan impak negatif kepada masyarakat,” jelas Adun Tellian, Yussibnosh Balo.

Katanya penipuan di atas talian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk golongan profesional sehinggalah kepada kelompok pesara kerajaan, petani, kakitangan kerajaan dan swasta, warga emas dan para pelajar.

“Di Sarawak sahaja, kes-kes penipuan atas talian terus meningkat dari tahun ke tahun dan perkara ini amat membimbangkan.

“Mangsa mengalami masalah kehilangan wang simpanan ekoran terpengaruh dengan tawaran-tawaran istimewa dari suspek yang sentiasa menambah baik ‘Modus Operandi’ mereka,” katanya berucap dalam merasmikan program ‘Staying Safe Online Campaign 2019’ Bahagian Mukah di sini semalam.

Jelas beliau berdasarkan data terkini, penipuan atas talian yang semakin menjadi-jadi di Sarawak ialah Penipuan Pekerjaan, Macau Scam, Love Scam dan penipuan jual beli atas talian,” ujarnya.

Yussibnosh Balo hadir merasmikan program ‘Staying Safe Online Campaign 2019’ Bahagian Mukah semalam.

Sehubungan itu, menerusi program “Staying Safe Online Campaign 2019” anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa & eDagang (MITeC) katanya adalah amat bertepatan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam memberi dan menerima setiap maklumat-maklumat menerusi pelbagai mediaum.

“Jangan mudah percaya apabila mendapat panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan lain-lain pihak berkuasa yang meminta maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan sebagainya kerana modus operandi ini sering digunakan oleh suspek,” tegas beliau.

Beliau turut memberitahu bahawa penggunaan teknologi komunikasi yang saban hari yang semakin canggih pada alaf ini juga amat berguna kepada semua lapisan masyarakat.

“Pengaksesan dan penerimaan maklumat sangat cepat menjadi satu keperluan kepada masyarakat tanpa mengira di mana mereka berada sama ada di bandar mahupun luar bandar,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, jelasnya penggunaan teknologi maklumat juga berperanan dalam memacu pembangunan ekonomi digital.

“Menerusi itu masyarakat boleh menggunakan kemudahan dan aplikasi yang sedia ada bagi membantu mereka menjalankan aktiviti perniagaan di atas talian atau e-Dagang dan menjana pendapatan bagi meningkatkan taraf ekonomi isi rumah,” katanya.

Walaubagaimanapun, tambah beliau masyarakat kini terdedah dengan aktiviti atas talian yang tidak sihat yang semakin berleluasa, ekoran daripada pendedahan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan maklumat tersebut untuk aktiviti penipuan.

“Perkara yang paling penting, elakkan diri menjadi mangsa penipuan dengan menghentikan serta merta panggilan telefon yang mencurigakan dan tidak melayani mesej atau Whatsapp dari nombor yang tidak dikenali,” ujar beliau.

Beliau turut berharap menerusi program tersebut masyarakat akan menjadi lebih berwaspada dengan modus operandi penipuan atas talian.

 

Yussibnosh Balo hadir merasmikan program ‘Staying Safe Online Campaign 2019’ Bahagian Mukah semalam.

 

Hadirin yang hadir ke program Staying Safe Online Campaign 2019′ Bahagian Mukah semalam.