MIRI: Lapan sekeluarga yang positif dadah antara 32 individu ditangkap AADK dalam Operasi Bersepadu hampir lima jam di dua lokasi di bandar raya Miri.

Ketua AADK Daerah Miri Mazlan Jikran berkata, lapan sekeluarga ditahan ialah bapa berusia 59 bersama tiga anak seorang wanita serta dua lelaki masing-masing berusia 25, 26 dan 29 tahun, menantu lelaki 26 dua anak saudara masing-masing berusia 33 dan 27 tahun termasuk bapa saudara mereka berusia 55.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati 27 daripada 32 suspek ditahan positif dadah jenis Methaphetamine atau syabu.

Selain itu, tambah beliau, pihak imigresen juga menahan 15 individu dalam serbuan kali ini.

“Operasi bersepadu itu dijalankan pada malam Jumaat lalu, bermula jam 10.30 malam sehingga jam 4 pagi.

Lokasi operasi ialah Taman Desa Senadin dan Kampung Wireless Miri,” katanya yang mengetuai operasi bersepadu itu.

Kesemua suspek yang positif dadah berusia dalam lingkungan 13 hingga 60 tahun.

Operasi itu dianggotai AADK Daerah Miri, Bintulu dan Limbang, Jabatan Imigresen Malaysia Miri, Jabatan Kebajikan Masyarakat Miri Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Turut ditahan dalam operasi itu, seorang wanita OKU juga positif dadah bersama kekasihnya yang merupakan warga Indonesia.

“Dalam tangkapan itu, semua suspek positif akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998),” ujarnya.

Manakala tahanan imigresen akan disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut.