BINTANGOR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu lebih proaktif sejajar dengan peranannya sebagai nadi kecemerlangan sesebuah sekolah.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol berkata, PIBG merupakan entiti sokongan yang dapat membantu sekolah melaksanakan pelbagai program berkaitan pelajar akademik, sahsiah dan kebajikan.

Ujarnya, pihak pentadbiran sekolah juga harus saling bekerjasama sebagai satu organisasi yang kuat bagi melengkapi antara satu sama lain.

‚ÄúSehubungan itu, saya menyeru ibu bapa melibatkan diri secara aktif dalam PIBG dan menyumbang mengikut kepakaran masing-masing demi kecemerlangan anak-anak dalam segenap bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang 2018, Majlis Hari Pelaporan dan Pemuafakatan Bersama Ibu Bapa PIBG SMK Bandar Bintangor, hari ini.

Abdullah mengabadikan kenangan bersama ibu bapa dan guru pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang 2018, Majlis Hari Pelaporan dan Pemuafakatan Bersama Ibu Bapa PIBG SMK Bandar Bintangor, hari ini.

Hadir sama, Pengetua SMK Bandar Bintangor, Jalani Hashim, Yang Dipertua PIBG, Andrian Joshua Magang dan lebih 500 ibu bapa.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop berkata, perubahan masa memberi pelbagai cabaran dan peluang kepada setiap pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh di samping merebut peluang untuk membina masa depan.

Malah katanya, setiap pelajar pasti akan berdepan dengan cabaran yang lebih hebat ketika di universiti dan sejurus menamatkan zaman persekolahan.

“Bagi mempersiapkan diri menempuh cabaran ini, mereka perlu memahami secara mendalam pelbagai persediaan dan cabaran yang bakal ditempuh. Sudah pasti, ia memerlukan daya fikir kreatif dan kritis. Jika di sekolah mereka banyak bergantung kepada bimbingan dan bantuan guru namun di luar alam persekolahan suasananya jauh berbeza.

Abdullah bersama pelajar yang menerima insentif cemerlang.

“Sehubungan itu, kita harus pandai mengurus kecerdikan kerana tidak semua orang cerdik itu bijak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan insentif RM3,000 untuk enam pelajar cemerlang (5A ke atas) yang masing-masing menerima RM500 setiap seorang.

Bertitik tolak daripada pencapaian cemerlang itu, Abdullah mengumumkan sumbangan sebanyak RM6,000 untuk Kelab Kebajikan Guru SMK Bandar.

Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan RM2,000 kepada Kelab Tarian SMK Bandar yang bakal mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan di Johor, insentif RM2,000 kepada kumpulan robotik dan RM2,000 kepada PIBG untuk membeli peralatan sukan.

Antara ibu bapa yang hadir.