KUCHING: Usaha pencarian telah dipergiatkan bagi memastikan dua anggota Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang hilang dalam Op Pejarak di Pulau Perak, ditemui secepat mungkin.

Kementerian Pertahanan berkata Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengatur gerak logistik besar-besaran untuk pencarian bermula pada pagi 20 Julai lalu.

Pencarian diperluas di kawasan pulau dan perairan persekitaran bagi mengesan anggota-anggota terbabit.

“Ketiadaan anggota dikesan pada lewat malam 19 Julai 2019 ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan.

“Usaha mencari dan mengesan dua anggota tersebut telah dilaksanakan oleh anggota yang bertugas di pulau berkenaan.

“Usaha pencarian dihentikan pada awal pagi 20 Julai 2019 berikutan angin kuat serta hujan lebat selain penglihatan yang amat terhad,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa anggota yang dikenal pasti sebagai Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers, daripada 4 RRD yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

Op Pejarak merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM.

Ia melibatkan penempatan anggota TDM di dua buah pulau di antara perairan Kedah dan Perak.