SARIKEI: Golongan muda diingatkan supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif berkata, pembangunan dan nikmat kemajuan yang dirasai hari ini tidak datang begitu sahaja.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat mensyukuri nikmat keamanan dan terus bersatu demi kelangsungan pembangunan Sarawak pada masa depan.

“Ketika kita menikmati anugerah keamanan hari ini, jangan kita lupa perjuangan dan pengorbanan orang terdahulu yang membolehkan kita hari ini hidup makmur dan berpeluang menentukan masa depan kita sendiri,” katanya dalam perutusan sempena Hari Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang, berkata, nikmat keamaman yang memberi kebebasan setiap rakyat untuk menentukan masa depan sendiri ini adalah satu anugerah yang tidak ternilai.

“Janganlah ia hanya dihargai apabila sudah tiada. Bak kata Allahyarham Tok Nan, “jaga Sarawak tuk bait-bait”. Saya cuma nak tambah, jika seseorang itu kita tidak tahu asal usulnya, bukan orang tempatan tiba-tiba sibuk hal kita, maka jaga-jaga lah.

“Terutama apabila belum berkuasa tetapi senang-senang dah mungkir janji,” katanya.

Datu Len Talif Salleh