SRI AMAN: Tiga terperangkap apabila dua Proton Saga bertembung dalam satu kemalangan jalan raya di KM 34 Jalan Sri Aman-Serian, malam tadi.

Menurut jurucakap bomba kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 10 malam melibatkan dua kenderaan iaitu Proton Saga Aeroback dan Proton Saga FLX yang masing-masing dinaiki sepasang suami isteri dan seorang pemandu.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua kenderaan yang sudah tersadai akibat bertembung dari arah bertentangan dengan seorang mangsa, Tiga @ Ala Johari, 59 masih tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu pada kenderaan Proton Saga Aeroback,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, operasi yang diketuai PBK II Chimiam Duyu bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan ‘rescue tool’.

“Dia dipercayai mengalami cedera parah dan selepas berjaya dikeluarkan, mangsa terus diserahkan kepada petugas perubatan yang berada di lokasi untuk tindakan lanjut.

“Manakala isteri mangsa, Norani Abdullah @ Esmerani Ganda, 50 turut mengalami cedera ringan terdahulu dikeluarkan oleh orang awam daripada terperangkap di dalam kenderaan yang sama.

“Begitu juga pemandu Proton Saga FLX, Clinton Jalai Beliang, 26 dipercayai mengalami cedera ringan terdahulu dikeluarkan oleh orang awam daripada kenderaan yang dipandunya,” ujarnya.

Operasi tamat kira-kira 11.43 malam dan pihak polis masih melakukan siasatan lanjut.

BANTUAN … Seorang petugas perubatan membantu bomba memberikan pertolongan awal terhadap seorang mangsa yang tersepit akibat kemalangan jalan raya di KM 34 Jalan Sri Aman-Serian, malam tadi.

 

ROSAK … Keadaan kedua-dua kenderaan yang kelihatan remuk teruk setelah bertembung antara satu sama lain di KM 34 Jalan Sri Aman-Serian, malam tadi.