BINTANGOR: Walaupun santai namun semangat kerjasama terserlah dalam perjumpaan antara Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.46 Meradong dan N.41 Kuala Rajang di Taman Selera di sini, malam tadi.

Program ringkas itu diadakan sempena sambutan Hari Sarawak selain bertujuan menyemai semangat pemuafakatan dan patriotik dalam kalangan pemuda PBB.

Ketua Pemuda PBB N.46 Meradong, Halmi Morsili berkata, sepanjang perjumpaan itu, mereka mengadakan sesi dialog dan perbincangan di samping mendengar pandangan ahli.

“Ini termasuklah pendapat mereka mengenai semangat sayangi Sarawak dan mempertahankan hak Sarawak. Pada masa yang sama, kita juga memberikan penerangan secara terperinci mengenai mengenai Perjanjian MA63.

“Saya gembira program ini mendapat respon dan kerjasama yang amat baik. Malah, mereka yang hadir cukup berminat untuk mengetahui lebih lanjut topik yang kita bincangkan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak selepas menghadiri program berkenaan.

Anggota Pemuda PBB N.46 Kuala Rajang dan Meradong yang hadir dalam perjumpaan santai sempena Hari Sarawak di Bintangor semalam.

Di tanya mengenai hubungan antara kedua cawangan parti itu, Halmi menjelaskan, rangkaian kerjasama antara pemuda Kuala Rajang dan Meradong terus diperkukuhkan bagi mendekati golongan muda, sekali gus membantu parti meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Katanya, kerjasama itu amat penting bagi memastikan kelangsungan parti seiring dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar.

“Sambutan baik terhadap program ini membuktikan semangat permuafakatan dalam kalangan kami tidak pernah luntur malah semakin kukuh.

“Yang pasti, kami akan terus saling berganding bahu untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat,” katanya.

Program turut dihadiri Ketua Pemuda PBB N.41 Kuala Rajang, Mohd Tazullah Khan.

Halmi memberikan penerangan kepada mereka yang hadir.

 

Kehadiran Ketua Pemuda PBB N.41 Kuala Rajang, Mohd Tazullah Khan turut menyuntik semangat pemuda.