KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Stakan, di sini.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 8 pagi semalam, ketika mangsa Paul Baren Aymen Pangkuma, 22, yang berasal dari Taman Phoning, Kuching dalam perjalanan dari Batu 7 Ke Kota Samarahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintenden Lee Chong Chern, motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang wanita, Jelina Koden, 37, dari Kampung Podam, Bau.

“Cuaca semasa kejadian hujan. Kedua-dua kenderaan telah hilang kawalan lalu bertembung dan terbabas ke tepi jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Chong Chern berkata impak kemalangan menyebabkan mangsa cedera parah dan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulan.

Bagaimanapun, katanya mangsa dimaklumkan meninggal dunia oleh pihak HUS sekitar jam 4.40 petang.

Manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kata Chong Chern, kes masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.