KUCHING: Polis sudah menjumpai telefon bimbit milik seorang tukang jahit yang mayatnya ditemui dalam beg bagasi di tebing sungai di Kampung Pangkalan, Bau baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata bahan kes berkenaan ditemui di dalam longkang di Lorong Chawan 12, di sini.

“Ya, kami sudah menjumpai telefon bimbit mangsa dan penutupnya di dalam longkang di Lorong Chawan 12,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Denis menambah pihaknya juga sedang berusaha mengumpul lebih banyak bukti, bagi menyelesaikan kes bunuh itu.

Difahamkan, telefon bimbit mangsa telah dibuang oleh pembunuhnya.

Setakat ini, dua orang suspek sudah ditahan iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun dan seorang wanita berusia 56 tahun.