BAU: Seorang remaja perempuan merupakan antara 21 orang yang ditangkap atas kesalahan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 47 tahun ditangkap menerusi 11 serbuan berasingan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak pada 20 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, kesemua suspek turut dikesan positif dadah.

“Enam daripada mereka dikenalpasti sebagai pengedar manakala lapan orang didapati memiliki dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pasukan operasi juga merampas sejumlah 14.28 dadah yang dianggarkan bernilai RM2,150.

“Mereka sudah direman mulai 21 hingga 25 Julai ini,” katanya.

Poge berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua hingga lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan termasuk denda RM5,000 sehingga RM100,000.